Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Bagi PTD jadi Penolong Kanan Pentadbiran, guru fokus mengajar - Pengarang Berita

Imej hiasan


BAB pendidikan sentiasa mendapat perhatian umum. Ini termasuk isu kekurangan guru yang dilaporkan Utusan Malaysia semalam.

Isu kekurangan guru diakui Kementerian Pendidikan pada 2021 dengan realiti menggambarkan keadaan sama se- hingga menyebabkan satu kelas nisbah guru dan murid 1:45 atau 1:40.

Kata Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, keadaan itu bukan berpunca daripada kekurangan guru tetapi ramai guru ditugaskan dengan tugas-tugas lain terutamanya di bahagian pentadbiran. Ini kerana asalnya, kebanyakan guru yang mulanya diambil untuk mengajar ditukar menjalankan kerja-kerja pentadbiran di kementerian atau jabatan pendidikan negeri.

Malah, kata Anuar, nisbah guru dan murid yang jauh tersasar itu kebanyakannya berlaku di sekolah harian biasa khususnya di kawasan bandar kerana bilangan pelajar yang ramai sehingga menimbulkan sekolah sesak.

Sebagai perbandingan, nisbah guru dan murid di negara maju adalah antara 1:17. Di Jerman nisbahnya 1:12; Finland 1: 14; Singapura 1:15; United Kingdom 1:15; Jepun 1:16 dan Thailand 1:17. 

Di negara kita, antara sekolah yang menghampiri status itu adalah seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah asrama penuh. 

Sekolah-sekolah ini dikatakan mempunyai 25 hingga 28 murid dalam satu kelas. Sebab itu, banyak SBP dan MRSM catat keputusan cemerlang dan ibu bapa berebut-rebut mahu masukkan anak masing-masing ke sekolah-sekolah ini. 

Kementerian Pendidikan merekodkan mempunyai lebih 430,000 guru di seluruh negara. Jumlah itu sebenarnya cukup jika semua guru ditugaskan mengajar lima juta mu- rid. Jika semua 430,000 guru bertugas mengajar, nisbah antara guru dan murid mengecil kepada 1:11 murid. 

Ini sangat ideal atau utopia. Realitinya, sebahagian guru akan terlibat dengan pentadbiran dan ada yang dipinjamkan ke jabatan kementerian, jadi mereka tidak mengajar tetapi dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD). Jadi, guru yang sebenarnya berada di dalam kelas sudah kurang. 

Atas kertas memang cantik, tetapi realitinya 1:40 murid atau 1:45 murid. Bilangan mata pelajaran yang banyak juga mempengaruhi apabila ada guru yang perlu me- ngajar sampai tiga kelas. 

Untuk itu, selain menambah bilangan sekolah yang tidak dapat dilaksanakan dengan cepat atas faktor sumber kewangan dan tanah yang terhad, barangkali elok kerja-kerja pentadbiran sekolah dikhususkan kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). 

Jawatan Pengetua dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dikekalkan untuk guru-guru sebagai peluang kenaikan pangkat dan jawatan Penolong Kanan 1 diserahkan kepada PTD. Sebabnya PTD lebih mahir dalam selok-belok mentadbir dan tidaklah kerja pentadbiran sekolah terbeban kepada para guru. Buat masa ini, selain dilakukan oleh para guru, kerja pentadbiran diurus oleh kerani sekolah. Ini baru sesuai dengan gelaran guru yang tugas hakikinya mengajar. 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia


Post a Comment

0 Comments