![]() |
Gambar: www.thejournal.ie |
Ia boleh berlaku dalam bentuk penderaan seksual, gangguan, rogol atau eksploitasi seksual dalam pelacuran atau pornografi.
Penderaan seksual ke atas budak boleh berlaku dalam pelbagai situasi termasuk rumah, sekolah atau tempat kerja yang biasanya melibatkan buruh kanak-kanak.
Perkahwinan budak juga dilihat sebagai salah satu bentuk penderaan seksual ke atas golongan itu dan turut diakui oleh Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) yang menyifatkan perkara tersebut sebagai eksploitasi ke atas kanak-kanak perempuan.
Tanpa kita sedari, penggunaan telefon bimbit dan internet turut meletakkan golongan budak terdedah dengan keganasan seksual kerana mungkin terdapat segelintir orang dewasa yang mengambil kesempatan ke atas mereka.
Ini kerana terdapat juga peningkatan dalam jumlah pengedaran imej memaparkan penderaan ke atas kanak-kanak.
Kajian Unicef, Hidden in Plain Sight pada 2014 menganggarkan kira-kira 120 budak perempuan di bawah usia 20 tahun (1 dalam 10) telah menjadi mangsa rogol atau dipaksa melakukan perbuatan seksual.
Kanak-kanak lelaki juga tidak terkecuali menjadi subjek keganasan seksual walaupun jumlahnya adalah jauh lebih rendah berbanding budak perempuan yang mana kadar mereka adalah tiga kali ganda lebih tinggi di negara berpendapatan tinggi.
Jutaan kanak-kanak adalah lebih cenderung dieksploitasi dalam pelacuran atau pornografi di seluruh dunia pada setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka dipaksa atau terjebak dalam situasi itu kerana terpedaya dengan janji palsu selain mempunyai pengetahuan yang terhad mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun, magnitud sebenar keganasan seksual disembunyikan kerana kononnya dianggap sebagai perkara sensitif dan di luar tabii manusia.
Kebanyakan mangsa dan keluarga mereka juga tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana bimbang dengan stigma masyarakat akibat kurang kesedaran dan toleransi sosial.
Bukti menunjukkan keganasan seksual boleh menyebabkan kesan kepada fizikal, psikologi dan sosial yang serius untuk tempoh jangka pendek dan panjang.
Impak itu termasuk risiko peningkatan penyakit, kehamilan yang tidak diingini, tekanan psikologi, stigma, diskriminasi dan kesukaran di sekolah.
Ia tidak hanya memberi kesan kepada mangsa malah keluarga dan masyarakat.
Pertubuhan Psikologi Amerika menegaskan kanak-kanak tidak boleh bersetuju kepada aktiviti seksual dengan orang dewasa selain turut mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.
“Orang dewasa yang terlibat dengan aktiviti seksual dengan budak sememangnya melakukan perbuatan jenayah dan tidak bermoral. Ia dianggap luar biasa dan tingkah laku sosial yang tidak boleh diterima,” menurut kenyataan badan itu.
Sumber: GPS Bestari
0 Comments