Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Penilaian personaliti dalam pelaporan PBD tidak tepat - Pensyarah

Imej hiasan

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik mempersoalkan kaedah pentaksiran bilik darjah (PBD) yang menilai tahap penguasaan (TP) murid dari segi personaliti dalam pelaporan akademik tahunan, yang menurutnya “tidak tepat”.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Anuar Ahmad berkata, PBD yang menggunakan konsep jenis personaliti – introvert (pasif), ekstrovert (aktif) atau ambivert (seimbang) – dipelopori Myers Briggs hanya untuk memudahkan guru membangunkan teknik pengajaran sesuai dengan personaliti murid.

“Kajian menunjukkan apabila gaya pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesuai dengan personaliti murid, maka keberkesanannya akan lebih tinggi.

“Jenis personaliti bukan untuk tujuan skala penilaian. Nampaknya ada guru yang telah tersalah faham dalam melaksanakan pentaksiran PBD.

“Ciri-ciri personaliti tidak sepatutnya digunakan sebagai asas dalam skema ukuran pentaksiran,” katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan UPSR bermula 2021 dan mengarahkan murid dinilai melalui PBD, dikatakan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menitikberatkan kemenjadian murid secara holistik.

Menurut Anuar, PBD yang diamalkan di negara lain sangat berkesan dalam melahirkan murid cemerlang, namun tidak menggunakan kaedah TP untuk menilai muridnya.

“Tak ada TP, hanya ada PBD sahaja. Semuanya diserahkan pada guru,” katanya.

“Sebab itu menggunakan skala introvert dan ekstrovert ketika membuat taksiran PBD adalah tidak tepat.

“Kononnya, murid ekstrovert lebih bagus dan cemerlang berbanding murid introvert. Siapa kata?”

Beliau berkata, ramai tokoh yang berjaya di seluruh dunia memiliki personaliti introvert, seperti bekas presiden Amerika Syarikat Barack Obama; pengasas Microsoft Bill Gates; dan pelopor Facebook Mark Zuckerberg.

“Tiada istilah ekstrovert lebih bagus daripada introvert atau sebaliknya. Malah, lebih salah apabila yang ada kata, introvert itu maksudnya ‘antisosial’ sedangkan antisosial menggambarkan tingkah laku jelik yang merosakkan persekitaran sosial.

“Dalam keadaan biasa, ‘introvert’ adalah normal,” katanya.

Beliau mengulas rungutan ibu bapa yang berkongsi dengannya mengenai kaedah PBD berasaskan TP, yang menurut mereka tidak adil untuk anak-anak cemerlang yang mempunyai personaliti introvert.

“Anak cemerlang tetapi TP rendah kerana banyak diam dalam kelas, malu-malu dan tidak aktif. Yang dapat (TP) tinggi murid yang extrovert, aktif, banyak bertanya dan menjawab soalan,” kongsi penjaga itu.

Post a Comment

0 Comments