![]() |
Imej hiasan |
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu membuat penambahbaikan terhadap sistem pendidikan di negara ini yang masih lagi berteraskan peperiksaan dan menghafal.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, teguran yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang prestasi Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 menunjukkan perubahan segera mesti dilakukan.
Menurutnya, KPM juga perlu menekankan kepada keseronokan belajar, khususnya bagi subjek kritikal seperti Matematik dan Sains dengan mengurangkan silibus kepada yang lebih fleksibel bagi menarik minat pelajar terhadap subjek berkenaan.
"Keputusan PISA itu membuktikan sistem pendidikan kita berada dalam keadaan yang cukup merosot. Saya mengharapkan KPM segera membuat perubahan dengan mengenal pasti punca yang menyebabkan kemerosotan prestasi murid-murid kita.
"Contohnya, kita sekarang berada di era Al (kecerdasan buatan), tapi sistem pentaksiran kita masih lagi dalam kerangka lama yang berteraskan peperiksaan dan menghafal. Pelajar yang paling banyak menghafal, dialah yang paling cemerlang," katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya tentang prestasi Malaysia yang terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN dalam kajian PISA khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, Anuar menjelaskan, tidak berasa terkejut dengan kenyataan itu.
"Perkara paling utama yang KPM kena buat ialah kembalikan keseronokan pembelajaran sains dan matematik di sekolah rendah. Saya pun tak faham, kenapa kita nak suruh anak-anak ini pandai cepat sangat?
"Kenapa kita tak beri mereka peluang untuk adaptasi dan seronok belajar benda baharu, jadi ia tidak ada tekanan. Keseronokan belajar Sains dan Matematik ini mesti diterap di peringkat sekolah rendah," katanya.
0 Comments