PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan agar sektor pendidikan negara tidak boleh lagi terikat dengan acuan lama.
Menurutnya, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid dan pelajar harus lebih baik berbanding sebelum ini.
"Tetapi peningkatan penggunaan bahasa Inggeris harus diberi keutamaan," katanya menerusi ucapan Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.
Beliau berkata, langkah itu merupakan salah satu pendekatan baharu Kerajaan Madani pada tahun ini.
"(Begitu juga) Program digital harus dilakukan dengan lebih drastik agresif berbanding tahun lalu. Jika tidak kita akan ketinggalan," katanya.
Jelas Anwar, Malaysia tidak akan mampu bersaing seiring dengan kelajuan yang dicapai negara lain sekiranya tidak memberi fokus di dalam bidang digital.
"Digital ini satu prakarsa baharu yang menekan soal teknologi baharu tetapi kita mesti mengakar ke bumi," katanya. Menurutnya, biarpun sektor digital menekankan mengenai teknologi baharu, sebarang usaha yang dilaksanakan, perlu merentasi kementerian serta jabatan.
"Janganlah fikir langkah lama...ini jabatan saya, kementerian saya...perlulah merentasi kementerian. Kalau (portfolio) undang-undang membabitkan semua, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu membabitkan semua.
"Jika tidak ia akan jadi satu cabang kementerian agama yang tiada kaitan dengan lain. Kita bincang soal pendidikan, kesihatan, undang-undang," katanya.
Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga perlu ambil langkah sama umpamanya melakukan jelajah rangkaian ke seluruh jabatan dan unit supaya faham dan bertindak," katanya.
0 Comments