Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Murid berusia 13 hingga 15 tahun tidak sesuai ditempatkan di asrama penuh - Pakar


Kuala Lumpur: Remaja berusia 13 hingga 15 tahun atau pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 tidak sesuai untuk ditempatkan di sekolah berasrama penuh kerana mereka masih mentah dan belum bersedia dari segi psikologi untuk berdepan sebarang cabaran hidup.

Remaja pada 'usia emas' dikatakan dalam tempoh mengalami pelbagai perubahan fizikal, emosi dan psikologi.

Pakar pendidikan awal kanak-kanak, Prof Dr Bustam Kamri. berkata remaja pada usia itu dalam proses mengenali diri dan amat memerlukan bimbingan ibu bapa dalam membentuk serta memantapkan acuan diri.

"Kebanyakan mereka masih tercari-cari dan belum kenal identiti diri, sekali gus tidak dapat membuat keputusan terbaik. Sekiranya jauh daripada bimbingan dan perhatian keluarga, mereka lebih cenderung mendengar nasihat, percayakan rakan berbanding ibu bapa.

"Malah, ada pelajar cukup liat pulang ke rumah ketika cuti sekolah kerana lebih seronok dan rapat dengan kawan, tambah pula ada ibu bapa hanya datang melawat anak di asrama sebulan sekali," katanya kepada BH.

Baru-baru ini, media melaporkan beberapa kes buli membabitkan pelajar sekolah berasrama penuh, terbaharu pada 7 Disember lalu, pelajar Tingkatan 2 melarikan diri jam 3 pagi dari asrama sekolah di Cheras kerana mendakwa tidak tahan dibuli, sebelum ditemukan lemah di hadapan sebuah masjid.


Pada 24 September lalu, seorang pelajar Tingkatan 4 sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar selepas diserang empat pelajar senior.

Mei tahun lalu pula, sekurang-kurangnya tujuh pelajar lelaki Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh di Seremban cedera dan trauma selepas menjadi mangsa buli pelajar Tingkatan 4.

Bustam berkata, ketika ini fungsi dan peranan sekolah berasrama penuh bukan lagi seperti dahulu, ketika ia memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar mendapatkan pendidikan dengan kemudahan yang teratur dan terbaik.

"Sekolah berasrama penuh kini menempatkan pelajar dari pelbagai latar belakang, sesetengahnya golongan elit, sekali gus mencipta jurang dan pelbagai masalah sosial.

"Pelajar miskin rendah diri dengan anak orang kaya, sekali gus boleh cetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka," katanya.

Kaji usia sesuai

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan disaran mengkaji semula usia pelajar yang sesuai ditempatkan di asrama bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi alam persekolahan dan pelbagai cabaran sepanjang berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga.

Pakar psikologi sosial, Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, pula menyarankan pentadbiran sekolah berasrama penuh dan kementerian berkaitan melakukan penilaian semula terhadap situasi dan persekitaran pembelajaran di sekolah berkenaan di seluruh negara.

"Ia bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan segelintir pelajar asrama penuh bertukar karakter menjadi ganas dan terbabit dengan budaya buli, yang berpunca daripada pelbagai faktor.

"Salah satu faktor menyumbang kepada perbuatan buli dan masalah remaja berpunca daripada keluarga sendiri, faktor penting yang dilihat menjadi pendorong sehingga menyumbang kepada gejala buli ialah kelemahan peranan ibu bapa membimbing dan mendidik anak masing-masing," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui sekolah berasrama penuh masih relevan, malah pelajar mempunyai kadar ketahanan lebih tinggi untuk menghadapi tekanan dan cabaran berbanding pelajar sekolah biasa.

Sementara itu, pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Hanim Abd Jalal pula melihat pertimbangan terhadap konsep sekolah berasrama perlu disesuaikan dengan realiti kehidupan dan perkembangan zaman.

Walaupun sekolah demikian memberikan pengalaman sosial dan pembelajaran disiplin, beliau menegaskan, penting untuk memahami bahawa pelajar kini membesar dalam lingkungan yang berbeza, di mana keselesaan dan kebebasan individu lebih ditekankan.

"Oleh itu, perlu ada penyesuaian untuk memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa dan keperluan pelajar.

"Pendidikan harus berfokus kepada pembangunan holistik, termasuk aspek kebebasan individu dan keselesaan psikologi tanpa mengabaikan nilai-nilai disiplin," katanya.

Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments