Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Covid-19: Institut pendidikan, sekolah wajib patuhi MySOP

Imej hiasan via Bing Image Generator


PETALING JAYA: Semua institusi pendidikan dan sekolah diwajib mematuhi prosedur operasi standard (MySOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan Kementerian Pendidikan melalui surat pekeliling bertarikh 18 Disember 2023 susulan sidang media khas Kementerian Kesihatan yang melaporkan berlakunya peningkatan penularan kes Covid-19 ketika ini.

Ia sebagai persiapan terutama bagi semua pihak pengurusan sekolah dan institusi pendidikan sebelum cuti penggal ketiga berakhir pada 1 Januari ini dan sesi persekolahan bersambung semula pada 2 Januari 2024.

Antara peringatan tersebut adalah mengekalkan kebersihan diri, individu bergejala diingatkan berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan namun jika perlu ke tempat awam, mereka perlu memakai pelitup muka.

Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu penyakit kronik, individu imuniti rendah dan ibu mengandung juga digalakkan memakai pelitup muka, mengamalkan TRIIS dan segera berjumpa doktor jika gejala bertambah teruk.

Warga pendidik dan pelajar juga disaran untuk mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid bagi individu positif Covid-19 dan berisiko tinggi bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang serius.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, pihaknya juga menggalakkan supaya mendapatkan dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.

"Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan masih lagi memberikan penekanan terhadap keselamatan murid.

"Oleh itu, bagi memastikan pengurusan murid bergejala dan positif Covid-19 dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar, semua institusi pendidikan dikehendaki merujuk kepada Tatacara Pengurusan Murid Bergejala dan Positif Covid-19 di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan," katanya. 

Tambahnya, beliau memohon  kerjasama semua pihak untuk memaklumkan perkara tersebut dan dilaksanakan oleh semua pegawai yang bertanggungjawab termasuk jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan semua institusi pendidikan.

Kementerian Pendidikan menyediakan lima garis panduan dalam Tatacara Pengurusan Мurid Bergejala dan Positif Covid-19, antaranya perlu menyediakan bilik isolasi bagi menempatkan murid bergejala atau positif Covid-19 sebelum mendapatkan rawatan.

Pihak sekolah juga perlu memberikan penerangan dan pendidikan berterusan kepada murid, guru, warga institusi pendidikan dan ibu bapa serta penjaga mengenai penularan jangkitan penyakit Covid-19 serta memberikan taklimat keselamatan kepada pihak penyedia perkhidmatan sokongan.

Pihak pentadbiran juga perlu mengambil tindakan segera terhadap murid yang bergejala dengan mengasingkan murid di bilik isolasi dan melaksanakan ujian kendiri.

Jika negatif, murid boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa tetapi perlu mengamalkan langkah-langkah penjagaan seperti menggalakkan pemakaian pelitup muka, mengelakkan daripada berada di tempat sesak dan mengelakkan interaksi dengan kumpulan berisiko tinggi.

Pihak sekolah juga perlu memantau dan mengawal pergerakan murid serta menggalakkan guru dan individu yang mengurus murid bergejala memakai pelitup muka dan memakai sarung tangan pakai buang, menjaga penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan. Bagi murid sekolah harian, ahli keluarga perlu dimaklumkan untuk menjemput murid menggunakan kenderaan sendiri manakala bagi murid sekolah asrama harian dan asrama sepenuhnya, murid perlu menjalani pengasingan di bilik isolasi asrama institusi pendidikan dan dibenarkan pulang menjalani pengasingan di rumah dengan permohonan dan persetujuan ibu bapa.

Selain itu, pihak sekolah juga diminta melaporkan kes Covid-19 kepada Pejabat Pendidikan Daerah, menguruskan makanan dan minuman untuk murid yang diasingkan di asrama, memantau kesihatan murid asrama dua kali sehari serta segera menghubungi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC), klinik kesihatan, hospital berhampiran atau talian 999 untuk bantuan kecemasan sekiranya keadaan murid bertambah teruk.

Utusan Malaysia melaporkan lagi, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata, garis panduan tersebut diperlukan bagi mengelakkan penularan Covid-19 dan kluster pendidikan di sekolah seperti dilaporkan sebelum ini.

"Pematuhan terhadap SOP, langkah pencegahan dan tatacara ini penting bagi mengawal pelajar yang terkesan dengan Covid-19. Dos penggalak vaksin juga perlu diambil oleh guru-guru terutama yang berisiko tinggi supaya dapat memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan tanpa jangkitan Covid-19.

"Kita juga perlu berdisiplin antaranya berjaga-jaga di tempat umum, mengamalkan pemakaian pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan serta pihak kementerian perlu memastikan pelajar yang menduduki peperiksaan seperti calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas," katanya.

Post a Comment

0 Comments