Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jangan paksa guru ke Sarawak - Annuar

Imej hiasan

KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengamalkan dasar ‘guru mengajar di negeri asal’ dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata adalah penting KPM tidak memaksa guru dari negeri lain datang berkhidmat di Sarawak.

"KPM harus melaksanakan dasar ini untuk mengurangkan isu kekurangan guru.

"Malah terdapat ramai guru dari Sarawak yang kini berkhidmat di Semenanjung Malaysia dan berminat untuk kembali,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam program dialog bertajuk ‘Dasar Pendidikan Sarawak Seiring Pembangunan’ yang disiarkan menerusi TVS malam tadi.

Annuar diminta mengulas isu keengganan sesetengah guru dari Semenanjung Malaysia yang gagal melaporkan diri di sekolah yang ditempatkan.

Laporan media pada 6 Mac lalu menyebut seramai 222 daripada 3,227 guru "one-off" yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM menerusi jawapan lisan di Parlimen memaklumkan 3,227 guru "one-off" itu merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara guru kontrak perkhidmatan (COS) yang ditempatkan di Sarawak.

Guru ‘one-off’ atau sekali pengambilan itu diperkenalkan pada Jun 2021 untuk seluruh negara. Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan KPM akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’ untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.

Baru-baru ini pula Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak mengumumkan penempatan 1,108 guru baharu dari kalangan guru siswazah universiti awam dan swasta di Sarawak, berkuatkuasa 28 Disember 2023.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dalam satu kenyataan berkata, Sarawak masih memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 guru dalam pelbagai disiplin untuk mengisi jawatan kosong yang terdapat di negeri ini meskipun dengan kemasukan 1,108 guru baharu itu.

Ketika menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit di Dewan Rakyat 30 November lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya mengutamakan guru kelahiran dari Sarawak untuk ditugaskan di negeri ini bagi mengelakkan masalah kekurangan guru terus berulang.

“Untuk makluman, bermula Januari hingga 4 September 2023 seramai 1,337 guru telah ditempatkan di sekolah-sekolah di negeri Sarawak,” kata Menteri Pendidikan itu. Oleh Azreen Keria 




 IMBASAN. Laporan disiarkan FB Utusan Sarawak pada 6 Mac 2023.

Post a Comment

0 Comments