Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Lebih 1,000 guru baharu ditempatkan di Sarawak

Imej hiasan via Bing Image Creator


KUCHING: Seramai 1,108 guru baharu telah ditempatkan di Sarawak berkuatkuasa 28 Disember 2023.

Mereka terdiri daripada siswazah keluaran universiti awam dan swasta dengan 422 guru ditempatkan di sekolah rendah, manakala 686 guru lagi di sekolah menengah.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) kerana telah menempatkan guru-guru ini.

“JPNS turut menyatakan penghargaan atas sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak (MEITD) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Cawangan Sarawak (SPP) dalam membantu mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia menyatakan akan sentiasa bekerjasama erat dengan pihak KPM, SPP dan semua pemegang taruh pendidikan dari semasa ke semasa bagi memastikan isu kekurangan guru di Sarawak dapat diatasi.

Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata sebanyak 66 guru besar sekolah rendah dan 13 pengetua sekolah menengah di seluruh Sarawak belum dilantik.

Katanya, setakat 30 September 2023, sebanyak 3,063 kekosongan guru di Sarawak juga masih belum diisi melibatkan 2,307 orang kekosongan guru sekolah rendah dan 756 guru sekolah menengah.

Post a Comment

0 Comments