Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sekolah laksana DLP wajib pastikan murid kuasai Bahasa Melayu - Fadhlina


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati, ada murid di sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan sekolah yang bersetuju melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi termasuk penguasaan bahasa Melayu.

"Penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular.

"Pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing, sekolah dibenar membuka lebih daripada satu kelas DLP bagi murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan DLP adalah sebahagian daripada dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI).

Berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP KPM 2021, katanya, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan peluang murid lain untuk mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

"Saya menegaskan iltizam KPM untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris," katanya.

Fadhlina berkata, KPM mengambil pendekatan manusiawi iaitu murid kohort sedia ada dibenar meneruskan kelas DLP.

Jelasnya, sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu bagi sesi 2024/2025.

"JPN bertanggungjawab memetakan sekolah menengah penerima bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah," katanya.

Katanya, KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan.

Beliau memberi jaminan KPM terbuka kepada cadangan dan keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuk mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh.

Post a Comment

0 Comments