Hot Posts

6/recent/ticker-posts

UPSR tak perlu diadakan semula - NUTP



KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak perlu diperkenalkan semula kerana ia kurang relevan dengan transformasi pendidikan yang bakal dilaksanakan pada 2027.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata malah matlamat UPSR yang mula diperkenalkan pada 1988 bagi menilai tahap kemampuan murid dalam membaca, menulis dan mengira (3M), sudah tersasar apabila ia dijadikan faktor perbandingan murid dan sekolah.

Katanya, penilaian murid tidak semestinya dibuat melalui ujian berkenaan sebaliknya perlu lebih meluas tanpa memfokuskan kepada aspek intelektual semata-mata,malah merangkumi pendidikan lebih seimbang.

"UPSR asalnya hendak menilai tahap murid dalam 3M sebelum pergi ke sekolah menengah, namun lama-kelamaan ia tersasar dan digunakan sebagai penanda aras kecemerlangan sekolah. Ia menyebabkan murid dan guru ditekan sehingga wujudnya kelas tambahan pada waktu malam dan hujung minggu.

"Kita tidak mahu kembali kepada sistem sekolah yang berasaskan kepada peperiksaan seperti sebelum ini. Murid akan menjadi tertekan kerana UPSR dianggap sebagai alat perbandingan untuk murid sendiri dan sekolah.

"Atas dasar itu, murid diberi tekanan untuk mencapai kecemerlangan dalam UPSR tanpa mereka dinilai perkembangannya secara menyeluruh," katanya kepada BH, di sini.

UPSR sebelum ini diperkenalkan bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima sebelum ia dimansuhkan pada April 2021 oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Radzi Jidin, susulan pandemik COVID-19.

Pada Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa bagi menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka.

Namun, semalam, sebahagian Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang meminta Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula cadangan pelbagai pihak supaya UPSR dikembalikan sebagai kayu ukur terbaik menilai prestasi pelajar di peringkat sekolah rendah.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, melalui peperiksaan UPSR, kebolehan murid hanya diukur berlandaskan aspek kognitif, yang mana ia tidak selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurutnya, berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, ia bermatlamat bagi mewujudkan insan dan murid yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Katanya, pendekatan melalui Penilaian Bilik Darjah (PBD) yang dilaksanakan sekarang lebih berkesan dan seimbang dalam membuat penilaian terhadap murid .

"Mereka (Ahli Parlimen) tidak masuk sekolah. Bagi mereka hanya UPSR yang boleh menilai murid sedangkan banyak lagi penilaian dibuat bagi melahirkan murid yang seimbang termasuk PBD.

"Matlamat pendidikan bukan semata-mata berteraskan aspek kognitif dan intelektual, sebaliknya mereka perlu membesar dengan kemahiran lain untuk bersaing di peringkat lebih besar," katanya.

Aminuddin berkata NUTP juga menyokong usaha KPM dalam melaksanakan transformasi pendidikan melalui Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memastikan sistem pendidikan relevan dan kalis masa depan.

Mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini, Aminuddin berkata, potensi dan keupayaan pelajar untuk ke sekolah menengah berasrama penuh boleh diukur melalui ujian kemasukan khusus.

Asyraf sebelum ini dilaporkan berkata, ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sukar menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.

Post a Comment

0 Comments