![]() |
Imej hiasan |
PETALING JAYA: Masyarakat masih belum percaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mampu meningkatkan keupayaan murid sehingga sukar melupakan peperiksaan Ujian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan secara rasmi pada 2021.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan semula UPSR mendapat desakan tinggi kerana PBS itu belum mempunyai kepercayaan yang tinggi
"Ada yang kata pemansuhan UPSR telah menyebabkan pendidikan negara kita sudah hilang hala tuju. Kononnya kerana tiada lagi UPSR, anak-anak kita semakin hilang motivasi untuk belajar.
"Guru-guru pula dikatakan sudah hilang tumpuan dan tiada matlamat untuk mengajar bersungguh - sungguh seperti ketika adanya UPSR.
"Menarik situasi ini untuk kita fahami. Benarkah pemansuhan UPSR telah menyebabkan pendidikan negara hilang hala tuju?" katanya.
Menurut Anuar, beberapa bulan selepas UPSR dimulakan pada tahun 1988, Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah melancarkan Falsafah Pendidikan Negara (FPN).
Beliau berkata UPSR (versi 1988) dan Falsafah Pendidukan Negera (FPN) (1989) adalah 'kembar' yang saling melengkapi antara satu sama lain.
"UPSR versi 1988 bertujuan menguji pencapaian anak-anak dalam kemahiran 3M. Pada masa yang sama, FPN pula menjadi dasar untuk memandu halatuju pendidikan negara agar sentiasa memastikan keseimbangan JERI di dalam diri murid.
"Prinsip asas di dalam FPN ialah sistem pendidikan mestilah menjadi satu usaha yang berterusan untuk membina potensi individu setiap murid. Malangnya, 'kealpaan' para penggubal pendidikan negara selepas itu telah 'membenarkan' UPSR 'disesatkan' daripada matlamat sebenarnya sehingga akhirnya UPSR menjadikan satu peperiksaan 'high stake'," kata beliau lagi.
Menurutnya lagi, UPSR telah digunakan sebagai alat membina ego orang dewasa (samada ibu bapa, sekolah etc). Kononnya persaingan dalam keputusan UPSR adalah sesuatu yang baik untuk tujuan pendidikan anak - anak. Sehinggakan orang dewasa sudah tiada empati lagi kepada kesan psikologi, emosi dan kemerosotan esteem anak-anak kerana ghairah dengan persaingan UPSR.
"Sebenarnya sebagai orang dewasa, kita hanya melayan ego kita sendiri untuk dilihat hebat dan gah dengan menggunakan anak anak kecil sebagainya 'tunggangan' .
"Malah UPSR yang semakin 'sesat' ini telah lari dari hasrat Falsafah Pendidikan Negara sama sekali. Tidak ada lagi konsep keseimbangan individu dari pendidikan sekolah rendah. Tidak ada lagi usaha untuk benar - benar membangunkan potensi individu murid. Anak - anak ke sekolah semata-mata hanya kecemerlangan dalam UPSR sahaja. Bukan lagi untuk menjadikan anak - anak insan yang seimbang," jelas beliau.
Katanya, anak - anak menjadi semakin tidak gembira malah ada yang menangis setiap pagi sebelum ke sekolah. Bukan sedikit anak anak yang tertekan dan tidak gembira kerana sistem pendidikan yang tidak mengambil kira kesejahteraan mereka.
"Mereka ini masih kecil tetapi telah ditekan dan dipaksakan secara berlebihan semata-mata untuk memenuhi ego orang dewasa. Kononnya kecemerlangan UPSR adalah jaminan masa depan. Kononnya UPSR adalah bukti kehebatan ibu bapa, guru dan sekolah. Kononya jika lebih ramai murid dapat 6A dalam UPSR itu maknanya sistem pendidikan negara semakin berkualiti.
"Hakikatnya banyak negara di dunia yang tiada pun peperiksaan seperti UPSR, anak anak mereka tetap juga cemerlang di sekolah menengah dan universiti. Tanpa peperiksaan seperti UPSR pun banyak negara di dunia yang tinggi kualiti pendidikan mereka. Jauh lebih tinggi dari negara kita yang ada peperiksaan UPSR," jelasnya lagi.
Beliau berkata lagi, UPSR telah 'tersesat' jauh dan apabila KPM memansuhkan UPSR, itu tandanya KPM mahu membawa sistem pendidikan negara kembali ke pangkal jalan. Mereka telah tersedar dengan kesilapan yang lalu.
"Eloklah kita juga insaf dan kembali ke pangkal jalan. Kita hayati kembali Falsafah Pendidikan Negara yang telah memberikan halatuju yang jelas untuk membina anak - anak kita menjadi insan yang seimbang.
"Memansuhkan UPSR (walaupun satu keputusan yang tidak popular) bermakna KPM mahu kembali ke halatuju pendidikan yang sebenar sebagaimana yang dihasratkan di dalam Falsafah Pendidikan Negara.
"Cumanya, memansuhkan UPSR baru separuh jalan. Bakinya, apakah KPM sudah bersedia dengan amalan baru selepas memansuhkan UPSR? Apakah PBD sudah mantap? Apakah GURU-GURU sudah mahir untuk mendidik tanpa bermatlamatkan peperiksaan UPSR? Apakah ibubapa sudah faham konsep pendidikan menyeluruh seperti yang di hasratkan di dalam FPN? Apakah SILIBUS sekolah rendah yang tidak lagi berorientasikan UPSR sudah disediakan? Apakah kemudahan pembelajaran yang menyeronokkan telah disediakan untuk memotivasikan murid pasca pemansuhan UPSR?
"Memansuhkan UPSR itu satu keputusan yang sukar tetapi memastikan kejayaan pendidikan pasca pemansuhan UPSR jauh lebih sukar," jelasnya.
0 Comments