Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Murid biadab antara punca guru kurang jiwai kerjaya

Imej hiasan


Kerjaya sebagai seorang guru atau pensyarah adalah pekerjaan yang mulia. 

Kumpulan ini berperanan untuk menyebar dan berkongsi ilmu kepada sesiapa sahaja bergelar pelajar. 

Namun, kebelakangan ini kita kerap mendengar mengenai guru atau pensyarah yang perlahan-lahan tidak lagi menjiwai kerjaya mereka. Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan itu. 

Tahukah anda satu daripada sebabnya adalah sikap pelajar itu sendiri. Hari ini sebahagian pelajar dikesan bersikap sambil lewa dalam pelajaran. 

Pelajar kerap ponteng kelas, selain mula hilang rasa hormat terhadap guru atau pensyarah. Guru atau pensyarah yang berkongsi ilmu di hadapan mereka tidak lagi dilihat perlu dihormati. Istilah keberkatan ilmu tidak penting buat mereka. 

Selain itu dalam konteks profesion perguruan, berlaku perubahan budaya pendidikan. Misalnya, jika dahulu ibu bapa meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada guru dalam hal pelajaran, malah dibenarkan untuk beri hukuman jika perlu bagi tujuan kesedaran, namun sekarang keadaannya jauh berbeza. 

Ibu bapa hari ini tidak membenarkan langsung anak mereka 'disentuh' meskipun sudah terang Iagi bersuluh membuat kesilapan. 

Kurang nilai kemanusiaan 

Sikap melindungi anak yang keterlaluan tidak hairan menyebabkan murid besar kepala. 

Seiring dengan perubahan zaman juga kita dapat melihat sistem pendidikan baru ini kurang mengaplikasikan nilai kemanusiaan dalam budaya pengajaran. 

Sebagai contoh, jika ada pensyarah membangkitkan isu seperti hak cuti dan memberi markah kurang kepada pelajar yang tidak menyiapkan tugasan, dia akan dihujani banyak pertanyaan daripada pihak atasan. 

Malah dalam sesetengah kes pensyarah mungkin dipersalahkan walaupun hakikatnya pelajar itu sendiri yang kerap gagal ke kelas. Ada juga pelajar yang sengaja tidak rnenyiapkan tugasan diamanahkan. 

Selain itu, sikap pihak pengurusan yang kurang menghargai pendidik juga menyebabkan mereka kurang menjiwai kerjaya. 

Misalnya jika di sekolah bukan luar biasa melihat guru mengorbankan hari rehat di hujung minggu semata-mata untuk menghadiri mesyuarat atau aktiviti kokurikulum. 

Sudahlah kurang rehat, penghargaan pula tak dapat. Bukankah hal begini boleh menyebabkan tekanan sekali gus mengurangkan motivasi kepada mereka? 

Oleh sebab itu, pihak pentadbir dan kerajaan sepatutnya tunaikan hak guru dan pensyarah, apatah lagi membabitkan cuti dan kecemasan. 

Setiap orang mempunyai keluarga untuk diluangkan masa bersama. Lagipun, jika guru dan tenaga pengajar tiada motivasi untuk jaga kesihatan akibat tiada semangat untuk mengajar, bukankah ia hanya akan menjejaskan peluang generasi muda itu sendiri dalam menuntut ilmu.

Maryam Adeebah | Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Post a Comment

0 Comments