TEMERLOH: Kementerian Pendidikan disarankan untuk menggunakan khidmat pesara guru sebagai jalan pintas untuk mengatasi kekurangan tenaga pengajar dalam beberapa mata pelajaran teras di sekolah.
Bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr. Aripin Said menyarankan langkah ini kerana isu kekurangan guru masih menghantui sistem pendidikan negara walaupun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan berasaskan enrolmen pelajar atau murid.
Berdasarkan laporan Kementerian Pendidikan, terdapat kekurangan tenaga guru dalam beberapa subjek terutamanya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Pendidikan Islam.
Walaupun negara mempunyai kira-kira 430,000 guru yang memberi perkhidmatan pendidikan kepada hampir 4.9 juta murid, masih wujud kelompangan dalam tenaga pengajar tersebut.
Aripin berkata, jika Kementerian Pendidikan membuka peluang untuk menggunakan khidmat pesara guru, ia pasti mendapat sambutan daripada pesara guru yang ingin terus berbakti kerana tiada mahu bakat yang ada disia-siakan setelah bersara.
Beliau juga percaya ramai pesara yang berminat menjadi guru kontrak bagi menyumbang kepakaran yang ada supaya ia tidak hilang bersama usia tua.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Kementerian Pendidikan menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Masalah kekurangan tenaga pengajar dalam subjek tertentu di sekolah perlu diatasi segera bagi memberi keadilan pendidikan kepada murid.
0 Comments