Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dakwaan kos bina bilik darjah cecah RM1.8 juta tidak tepat - Fadhlina


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin kononnya kos untuk membina sebuah bilik darjah dianggarkan bernilai antara RM1.8 juta sehingga RM2.6 juta.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata ia kerana di peringkat kementerian, ada proses kerja yang dinilai mengikut panduan dan piawaian yang ditetapkan.

"Jadi dakwaan berkenaan tidak tepat kerana isu yang kita nak ditekankan ialah proses kerja itu. Ia ada proses kerja yang harus dilalui antaranya skop kerja, konsultan dan piawaian tertentu yang harus dicapai pihak KPM dalam meneruskan projek terbabit.

"Jadi kenyataan berkenaan adalah tidak tepat dan kita ada penjelasan serta justifikasi di peringkat kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) KPM di sini, hari ini.

Bee Yin ketika membahaskan Bajet 2023 bagi peringkat KPM mendakwa, kos purata bagi pembinaan sebuah bilik darjah adalah antara RM1.8 juta hingga RM2.6 juta.

Katanya, ia berdasarkan maklumat diperolehnya membabitkan pembinaan beberapa sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan Alam dengan 30 bilik darjah bernilai RM54 juta, Sekolah Kebangsaan Paya Dusun di Terengganu dengan 24 bilik darjah (RM55 juta) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong di Sibu, Sarawak, dengan 42 bilik darjah (RM110 juta).

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM memandang serius masalah gejala dadah dalam kalangan remaja, selepas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melaporkan secara purata seramai lima remaja terbabit dengan masalah itu pada tahun lalu.

"Saya fikir tindakan disiplin, pencegahan, intervensi sudah pun berada dipengetahuan dan tindakan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana kita tahu urusan berkaitan disiplin pelajar akan ditangani pihak sekolah dan JPN.

"Apa yang penting untuk saya tekankan di sini ialah bahawa kita tidak berkompromi dengan penyalahgunaan dadah di peringkat sekolah," katanya.

Ditanya mengenai silibus anti rasuah di sekolah rendah dan menengah, beliau berkata isi kandungan sedia ada mencukupi dan diyakini mampu memberi impak terbaik.

Bagaimanapun katanya, silibus terbabit akan dikemaskini mengikut keperluan semasa.

"(Silibus) adalah mengikut tahap kanak-kanak dan silibus ini sentiasa menjadi keutamaan apatah lagi dalam soal rasuah.

"(Dalam) buku teks Pendidikan Islam juga menunjukkan tahap tingginya peringatan mengenai rasuah dimuatkan dalam buku teks anak-anak kita," katanya.

Post a Comment

0 Comments