Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Guru gagal semak keputusan Mahkamah Rayuan

Gambar hiasan via The Malaysian Time
PUTRAJAYA 6 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan seorang guru lelaki untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membela diri terhadap tuduhan memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 secara tidak sah, tiga tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil ketika menolak permohonan L.Subbarau @ Kamalanathan, 37.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa persoalan yang dibangkitkan oleh peguam bela yang mewakilinya gagal memenuhi peruntukan undang-undang yang membolehkkan permohonan itu dibenarkan.

Sehubungan itu, guru berkenaan diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Oktober ini di hadapan hakim berlainan.

Subbarau memohon menyemak keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei lalu yang mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskannya daripada tuduhan tersebut.

Subbarau menghadapi lima pertuduhan memiliki soalan UPSR 2014 bagi mata pelajaran Matematik 035/1 dan Matematik 015/1, Bahasa Tamil-Pemahaman 036 dan Bahasa Tamil-Penulisan 037 serta Sains 081 melalui seunit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note 2.

Responden yang ketika itu mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Benar di Nilai didakwa mendapatkan soalan-soalan itu yang didakwa bersalahan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana tidak berhak menyimpannya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 8 malam, 8 September dan 16 September 2014 di sebuah rumah di Jalan Bukit Galena 13, Taman Bukit Galena, Fasa 4, Seremban.

Sumber - UTUSAN ONLINE