Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tidak perlu kerja rumah, aktiviti pembelajaran sepatutnya selesai di sekolah - Pensyarah

Imej hiasan


MEMANG sudah banyak negara (khususnya negara maju) yang tidak mengalakkan guru memberikan kerja rumah yang banyak kepada murid.

Semua aktiviti pembelajaran mesti diselesaikan di dalam bilik darjah. Jika pun murid perlu belajar di rumah, amalan mereka lebih kepada guru meminta murid membuat pembacaan sahaja. Atau kerja rumah dalam bentuk murid melakukan aktiviti bersama keluarga.

Hasil kajian pendidikan berkaitan ‘adakah beban kerja rumah berkesan dalam meningkatkan pencapaian murid’ masih pelbagai. Memang ada kajian yang mendapati kerja rumah boleh tingkatkan pencapaian murid.

Tetapi lebih banyak kajian yang menunjukkan bahawa kerja rumah tidaklah begitu berkesan meningkatkan prestasi murid berbanding pembelajaran yang dirancang dengan baik di dalam bilik darjah.

Maksudnya, jika guru berjaya merancang dan melaksanakan PDPc secara berkesan di bilik darjah, itu adalah lebih baik berbanding murid dibebani dengan kerja rumah.

Saya cenderung berada di posisi pandangan yang kedua. Sebenarnya memadailah anak-anak belajar secara berkesan di sekolah. Pulang ke rumah, itu adalah masa berkualiti murid bersama keluarga.

Sepatutnya anak-anak diberikan peluang untuk melakukan aktiviti bersama keluarga masing-masing. Membaca bersama, bermain dengan adik beradik yang lain, rekreasi, menonton tv, makan bersama dan berjemaah solat bersama.

Tidak sepatutnya anak-anak menjadi tertekan di rumah kerana ada kerja rumah yang bertimbun perlu disiapkan.

Sampaikan ada anak-anak menangis kerana tertekan perasaan mereka sebab tidak dapat siapkan semua kerja rumah. Ada yang sampai takut nak ke sekolah.

Kita sepatutnya berubah untuk mengutamakan kesejahteraan kehidupan anak-anak.

Sepatutnya sistem pendidikan negara lebih fokus untuk berikan masa dan peluang untuk guru-guru merancang pengajaran yang berkualiti dan dilaksanakan dalam kelas yang kondusif. Janganlah lagi bebankan guru dengan tugas bukan pengajaran.

Apa yang berlaku sekarang, bila guru disibukkan dengan berbagai tugas bukan pengajaran, akhirnya mereka cenderung berikan banyak kerja rumah pada murid. Jika tidak, silibus akan tertinggal. Murid balik rumah akan sibuk siapkan kerja rumah. Sampai tak banyak lagi masa berkualiti bersama keluarga. Malah ada yang sampai tertekan bila terlalu banyak kerja rumah yang perlu disiapkan.

Sedangkan kajian pendidikan menunjukkan kerja rumah bukanlah kaedah pendidikan yang berkesan berbanding PDPc di dalam bilik darjah. Kita kena betulkan kitaran ini. .

Dr Anuar Ahmad
Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan, UKM

Post a Comment

0 Comments