Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Belanjawan 2024 perlu inisiatif khusus atasi isu kekurangan guru


Bidang pendidikan di Malaysia sering berhadapan dengan pelbagai isu. Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan bidang pendidikan sedang mengalami kekurangan lebih daripada 20,000 guru di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, pelbagai pihak termasuk NUTP, pakar pendidikan, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan memberi cadangan untuk pertimbangan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu berkenaan.

Dalam hal ini, NUTP mendesak KPM mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah kekurangan guru sekali gus mengimbangi guru sedia ada. Dalam bidang pendidikan. kekurangan infrastruktur sekolah, masih boleh diterima namun, jika kekurangan guru, objektif pembelajaran digariskan dalam kurikulum sukar dicapai.

Sehingga kini, 10,225 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara hanya mempunyai kira-kira 418,000 pendidik. Bagi mengatasi masalah kekurangan guru, KPM turut melaksanakan pelbagai usaha dan langkah menyelesaikan antaranya rancangan mengadakan pengambilan guru baharu.

Seiring dengan pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat ini, pakar pendidikan berpendapat kerajaan perlu mempertimbangkan memberikan peruntukan khas melalui lantikan guru secara 'one-off' bagi menangani isu kekurangan 20,000 guru di negara ini.

Setakat ini juga, KPM mengumumkan peluang pekerjaan untuk calon Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bagi gred DG41 untuk 2023. Peluang pekerjaan secara 'one-off' ini dibuka bagi mengisi kekosongan jawatan guru bersara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat penularan COVID-19.

Selain itu, tindakan ini juga diambil bagi menampung sekitar 4.49 peratus kekurangan guru, iaitu dengan jumlah kira-kira 19,431 orang disebabkan beberapa faktor seperti persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Bagaimanapun, Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyatakan ketika pengambilan sebanyak 18,702 orang guru dilakukan pada 2022 dalam satu inisiatif 'one-off', hanya 2,667 orang guru sahaja ditempatkan di Sarawak. Daripada jumlah itu, seramai 215 guru menolak penempatan itu atas alasan peribadi.

Justeru, kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan penempatan guru di Sarawak. Dalam hal ini, perlu diakui graduan daripada luar bidang pendidikan sebenarnya turut mempunyai keupayaan untuk mengajar dan melahirkan murid berkualiti.

Oleh demikian, memberi peluang kepada graduan di luar bidang pendidikan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dilihat boleh membantu mengatasi masalah kekurangan guru, terutama bagi mata pelajaran penting seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

KPLI yang dilaksanakan ketika cuti sekolah adalah langkah penting ke arah memudahkan kerjaya guru. Sebelum ini, program KPLI terbukti menunjukkan kejayaan dan pemulihan program ini melalui Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) dilihat membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru.

Oleh itu, beberapa universiti awam (UA) turut menawarkan program ini. Sijil DPLI membolehkan seseorang mendapat 'lesen' untuk mengajar di institusi pendidikan, sama ada kerajaan atau swasta. DPLI dilakukan selama satu tahun setengah dan mempunyai jadual pembelajaran sangat fleksibel.

Tawar program KPLI, DPLI

Peluang ini terbuka kepada individu ingin meningkatkan tahap pendidikan tanpa mengorbankan kerja hakiki. Penawaran program KPLI dan DPLI adalah penting kerana terdapat institusi tidak dapat menawarkan tempat kepada bakal guru berdasarkan kapasiti yang ada termasuk tenaga pengajar serta prasarana.

Sebagai contoh, tidak banyak institusi menawarkan program Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Sekiranya institusi ingin membuka program berkenaan, perlu melalui banyak proses untuk tujuan akreditasi.

Sehingga kini, terdapat 14 UA menyediakan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) untuk melatih guru sekolah menengah dan 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melatih guru sekolah rendah.

Hingga awal tahun ini, KPM mengenal pasti enam mata pelajaran utama memerlukan penambahan guru iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, RBT, Pendidikan Seni Visual dan Sejarah.

Baru-baru ini, KPM menganjurkan Bengkel Kerja Penyediaan Unjuran Keperluan Guru Sekolah Rendah dan Menengah 2024-2030. Perkara ini jelas menunjukkan KPM mengambil berat mengenai isu ini dengan menyampaikan maklumat sahih kepada institusi menawarkan program pendidikan.

KPM menyatakan graduan tidak berjaya dalam temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mempunyai peluang untuk memohon semula melalui platform mySPP selepas tempoh enam bulan daripada tarikh keputusan asal dikeluarkan.

Sesiapa yang gagal dalam percubaan pertama masih boleh memohon sehingga berumur 45 tahun. Perkara ini memberi harapan kepada graduan untuk terus berusaha dan memohon menjadi sebahagian daripada ahli perkhidmatan pendidikan walaupun gagal pada percubaan kali pertama.

KPM juga mewujudkan pangkalan data inovatif menghubungkan kementerian dengan institusi pendidikan serta universiti bagi menyelaraskan maklumat penting seperti keperluan kepakaran dan kemahiran guru serta menjangka kekosongan jawatan.

Perkara ini akan membolehkan penempatan guru berlaku dengan lebih pantas dan cekap. Selain itu, pangkalan data ini juga akan membantu sekolah mencari calon guru dalam bidang tertentu secara langsung melalui universiti atau IPGM mengikut syarat dan prosedur ditetapkan.

Sebagai rumusan, kekosongan jawatan guru boleh meletakkan beban tambahan kepada guru sedia ada, menjejaskan kecekapan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, jumlah pelajar yang ramai di dalam kelas juga berisiko mengganggu perhatian dan pembangunan pendidikan pelajar.

Oleh itu, kerajaan perlu segera mewujudkan jawatan pembantu guru untuk mengurangkan jumlah kerja perlu dilakukan guru di sekolah. Namun begitu, KPM tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana peruntukan daripada Kementerian Kewangan amat diperlukan bagi memulakan proses pengambilan guru baharu.

KPM juga tidak boleh bertanggungjawab penuh atas masalah kekurangan guru kerana hal ini turut membabitkan agensi lain seperti SPP, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Hakikatnya, KPM sedang berusaha keras untuk menangani isu ini kerana guru adalah pusat pengajaran dan pembelajaran serta berperanan penting dalam kemajuan akademik dan sosial generasi muda negara.

Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah
Penulis adalah Pensyarah Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia

Post a Comment

0 Comments