KUALA LUMPUR - Tidak berminat, bekerja, masalah keluarga, berkahwin dan sukar ke sekolah disebabkan faktor jarak antara sebab utama murid berhenti, berdasarkan rekod dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dari tahun 2019 hingga 2023.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying bagaimanapun berkata, berdasarkan statistik kementeriannya, kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 kepada tahun 2022.
Menurutnya, kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.12 peratus pada tahun 2019 kepada 0.07 peratus pada tahun 2022 manakala peringkat menengah pula, ia menurun daripada 1.14 peratus pada tahun 2019 kepada 0.99 peratus pada tahun 2022.
“Bagi tempoh 2019 hingga 2022, pada peringkat sekolah rendah keciciran murid yang melibatkan tahun 3, tahun 4 dan tahun 6 menunjukkan peningkatan manakala tahun 2 dan tahun 5 menunjukkan tiada keciciran murid dan penurunan dalam tempoh tersebut.
“Pada peringkat sekolah menengah pula, berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi tingkatan 2 dalam tempoh tahun 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan melibatkan tingkatan 3, tingkatan 4 dan tingkatan 5 dalam tempoh berkenaan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memuktamadkan data kadar keciciran murid bagi tahun 2023 selepas menerima maklumat enrolmen daripada agensi selain KPM,” katanya semasa menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang bertanyakan tentang kadar keciciran daripada sistem sekolah dan langkah dibuat supaya mereka kembali bersekolah, di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Tambah Hui Ying, tiada keciciran murid perempuan pada peringkat sekolah rendah berbanding murid lelaki bagi tahun 2019 hingga tahun 2022.
Selain itu katanya, kadar keciciran murid lelaki menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 hingga tahun 2022 iaitu 0.16 peratus pada tahun 2019 kepada 0.09 peratus pada tahun 2022.
0 Comments