Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Konsep 'sekolah angkat' tingkat ilmu selenggara bangunan - Pensyarah

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (kiri) meninjau kerosakan siling tandas Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Jaya, di Butterworth, Isnin lalu. Hadir sama, Pengetua SMK Bagan Jaya, Gnoh Kem Fat (kanan). Sekolah berkenaan mengalami pelbagai kerosakan antaranya bumbung runtuh, tandas kotor akibat bocor, cat bangunan sekolah rosak dan sebagainya. - Foto FB

PENYELENGGARAAN bangunan kerajaan mempunyai kepentingan besar dalam konteks negara maju dan membangun. Mengekalkan keadaan bangunan secara efektif adalah antara tujuan utama penyelenggaraan bangunan dilakukan.

Dalam aspek ini, imej kerajaan juga sedikit sebanyak dapat dinilai menerusi penjagaan 'rupa paras' bangunan yang wujud. Kurangnya aspek penyelenggaraan bangunan, maka buruklah imej kerajaan.

Ada yang yang cuba mengaitkan penyelenggaraan bangunan kurang berkesan adalah petanda culasnya kakitangan diamanahkan melaksanakan tugas penyelenggaraan, sekali gus mencalar juga imej penjawat awam.

Bermakna, penjagaan kualiti, keselamatan dan kesihatan bangunan kerajaan di Malaysia adalah tanggungjawab berat dan memerlukan komitmen padu.

Penyelenggaraan bangunan adalah proses kerja berterusan meliputi penyelenggaraan bangunan secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan yang juga menuntut komitmen kewangan tinggi.

Maka, bajet penyelenggaraan perlu difikir secara rasional mengikut keperluan aktiviti patut dijalankan ke atas sesebuah bangunan, termasuk sekolah. Maka peruntukkan mencukupi perlu menjadi keutamaan dalam setiap pembentangan bajet kerajaan terhadap penyelenggaraan dan ia perlu sentiasa disediakan setiap tahun.


Justeru, inventori ke atas bangunan kerajaan, terutama sekolah memerlukan dana penyelenggaraan perlu dijalankan secara proaktif sebelum sebarang kejadian yang lebih dahsyat berlaku.

Oleh kerana bangunan sekolah kerajaan banyak usang dan sukar pihak sekolah menerima bantuan kewangan bagi tujuan penyelenggaraan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), maka dicadangkan sebahagian sekolah memerlukan peruntukan kewangan bagi tujuan penyelenggaraan boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mewujudkan program sekolah angkat.

Ini bagi mengelakkan kebergantungan terhadap sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dikutip di sekolah kerajaan. Terdapat sekolah menggunakan yuran PIBG sebagai tabungan untuk penyelenggaraan sekolah.

Tingkat kualiti pendidikan

Mengikut konsep program sekolah angkat, ia bertujuan membantu penyelenggaraan bangunan sekolah bagi memastikan kondisi bangunan yang baik dan selamat untuk pembelajaran. Program ini mungkin boleh membabitkan sekolah yang menghadapi masalah kekurangan sumber daya atau keadaan bangunan yang memerlukan pembaikan.

Pesuruhjaya Bangunan dalam PBT mungkin boleh memberikan bantuan dalam hal penyelenggaraan bangunan sekolah menerusi peranan mereka berfokus kepada pengawasan dan pengendalian aspek teknikal bangunan.

Pesuruhjaya Bangunan juga boleh melakukan penilaian terhadap keadaan bangunan sekolah, termasuk struktur, kemudahan dan infrastruktur lain. Mereka dapat memantau secara berkala untuk mengenal pasti masalah atau kerosakan memerlukan pembaikan segera.

Nasihat dan panduan mengenai tindakan pembaikan atau penyelenggaraan diperlukan sekolah secara dasarnya dapat disahkan pihak profesional mempunyai kepakaran dan pensijilan.

Jika ada projek penyelenggaraan membabitkan pembangunan baharu atau pengubahsuaian di sekolah, Pesuruhjaya Bangunan dapat memberikan pendapat dan cara terbaik, merujuk akan keadaan tersebut. Mereka akan memastikan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan adalah tepat dan sesuai dengan peraturan

Mungkin program sekolah angkat di antara PBT dan sekolah kerajaan dilihat sukar untuk dilaksanakan, lantaran punca kuasa PBT dan sekolah berbeza namun, pihak berkepentingan perlu melihat kolaborasi ini sebagai satu tanggungjawab, kerana secara tidak langsung sekolah juga terletak dalam kawasan PBT.

Menerusi program sekolah angkat ini, ilmu penyelenggaraan bangunan sekolah dapat ditingkatkan dengan cara teratur dan terancang.

Ini akan membantu memastikan bangunan berada dalam keadaan yang selamat dan berfungsi dengan baik, mencipta lingkungan pembelajaran lebih baik bagi pelajar dan meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA, Perak

Post a Comment

0 Comments