Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Teliti semula penggunaan ‘keciciran SPM’ - Pensyarah

Imej hiasan


ISTILAH ‘cicir SPM’ sepatutnya diteliti semula, kata Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Beliau juga mempersoalkan benarkah wujud ‘keciciran SPM’ sedangkan pendidikan peringkat sekolah menengah hanyalah satu pilihan dan tidak wajib.

“Bagaimana pula sesuatu yang menjadi pilihan dikatakan ‘tercicir’?

“Sebagai contoh, istilah ‘keciciran 3M’ memang sesuai digunakan kerana pendidikan rendah adalah wajib mengikut Perkara 29, Akta Pendidikan 1996.

“Jika tak kuasai 3M, itu maksudnya sedang berlaku keciciran,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dr Anuar berkata, beliau berpendapat hanya apabila Rang Undang-Undang (RUU) mewajibkan pendidikan sekolah menengah diluluskan oleh Parlimen, barulah istilah keciciran SPM sesuai digunakan.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut kira-kira 211,544 calon SPM sama ada gagal mendapatkan sijil atau tidak menduduki peperiksaan dalam tempoh antara 2019 hingga 2021, menurut kajian sebuah NGO, Untuk Malaysia.

Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia yang diterbitkan pada Januari itu mendedahkan dalam tempoh tiga tahun tersebut, kira-kira 140,474 calon gagal mendapatkan sijil, kerana tidak lulus Bahasa Melayu atau Sejarah; manakala 71,070 calon lagi mendaftar tetapi tidak menduduki peperiksaan.

Laporan tersebut tidak memperincikan faktor-faktor menyebabkan pelajar terbabit ‘cicir SPM’, namun menyimpulkan bahawa kanak-kanak keluarga miskin golongan paling terkesan ketika sekolah ditutup selama 42 minggu, ekoran wabak Covid-19.

Post a Comment

0 Comments