Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Murid bawa kipas mini ke sekolah tak tahan cuaca panas

Murid SK Gong Dermin membawa kipas ke sekolah susulan cuaca panas dan musim kemarau. - Foto Ihsan guru SK Gong Dermin


KOTA BHARU: Cuaca panas sejak beberapa bulan lalu termasuk di Kelantan mendorong murid membawa kipas mini elektrik ke sekolah.

Inisiatif itu dilakukan bagi membolehkan mereka selesa sepanjang berada di dalam kelas memandangkan setiap kelas hanya mempunyai dua kipas siling. 


Selain murid, ada juga di kalangan guru mengambil inisiatif membawa kipas angin kerana tidak tahan dengan cuaca yang membahang.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Dermin, Noor Suriati Sukri, 38, berkata dia mula perasan anak muridnya membawa kipas mini ke sekolah sejak bulan lalu kerana cuaca yang panas.

"Macam-macam jenis kipas mini elektrik mereka bawa dengan pelbagai warna. Ada yang bawa 'powerbank' juga kerana bimbang kehabisan bateri.

"Saya terhibur melihat gelagat anak murid yang masing-masing membuka kipas di dalam kelas. Sebagai guru, kita memahami kerana cuaca sekarang sangat panas.

"Malah, pihak sekolah pun tidak merampas sekiranya murid-murid membawa kipas mini. Bukan saja murid, saya juga membawa kipas angin sendiri untuk diletakkan di dalam kelas supaya lebih selesa," katanya.

Murid SK Sultan Ibrahim 2 yang mahu dikenali sebagai Redza, berkata dia membawa kipas mini sejak dua bulan lalu selepas melihat rakan-rakan turut membawanya ke sekolah.

"Mula-mula saya juga tidak berani, namun melihat semakin ramai kawan-kawan yang bawa, saya juga membawanya kerana tidak tahan cuaca panas," katanya.

Post a Comment

0 Comments