KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kecewa kononnya berita baik untuk golongan pendidik yang diuar-uarkan lebih awal sebelum ini, tidak seperti yang diharapkan.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihaknya tidak nampak ‘hadiah’ yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, semalam, memberi impak besar ke arah kesejahteraan guru.
“Sebenarnya guru-guru menjadi teruja untuk mendengar pengumuman apabila diuar-uarkan bahawa ada berita gembira untuk mereka sempena Hari Guru 2023.
“Namun, apabila berita tersebut diumumkan, ia sangat mengecewakan kerana jauh tersasar daripada jangkaan guru,” katanya kepada Malaysiapost.
Menurut Aminuddin, guru mengharapkan berita lebih bersifat kewangan seperti kenaikan elaun, gred gaji, penambahbaikan bilik guru selain menikmati cuti penggal tanpa gangguan.
Beliau berkata, NUTP sedar Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kekangan kewangan, namun inisiatif lain seperti penguatkuasaan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 28 September 2022 juga mampu menggembirakan golongan itu.
Dalam pada itu, mengulas Program Cuti-Cuti Cikgu, beliau mengharapkan ia benar-benar eksklusif untuk guru selain mampu memenuhi jangkaan golongan itu terutama ketika musim cuti sekolah.
“Sepatutnya ada arahan KPM agar jangan membenarkan sekolah melaksanakan program yang tidak berimpak tinggi dan bersifat syok sendiri bagi mengelakkan terpaksa ke sekolah pada masa cuti sekali gus menghalang percutian bersama keluarga,” katanya.
Semalam, Fadhlina mengumumkan sebanyak 10 prakarsa sebagai ‘hadiah’ kepada golongan pendidik sempena sambutan Hari Guru 2023.
Ia katanya, diharap dapat membantu memperkasa kebajikan guru, mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antaranya, termasuk menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-Cuti Cikgu mampu milik yang diperkenalkan dengan kerjasama rakan strategik. – Malaysiapost
0 Comments