KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April ini, menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata cuti khas itu dianggap keperluan dengan mengambil kira jangkaan bahawa 1 Syawal mungkin jatuh pada 21 April ini, iaitu awal sehari berbanding ketetapan asal.
"Pihak NUTP ingin merujuk kenyataan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa negara-negara Islam kebanyakannya akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April 2023 yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan 1444H.
"Dalam isu cuti perayaan dalam sesi persekolahan 2023 sekarang, KPM membuat ketetapan cuti perayaan untuk Aidilfitri bagi semua negeri ialah pada 20 April (Khamis) dengan andaian semasa perancangan cuti dibuat bahawa Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 22 April 2023 (Sabtu).
"Ini membolehkan guru-guru serta semua lapisan masyarakat yang mempunyai anak di sekolah mempunyai masa selama dua hari merentas negeri bagi tujuan balik kampung untuk beraya," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan terbaru berkaitan jangkaan 1 Syawal itu, NUTP berharap KPM dapat mempertimbangkan cuti khas pada Rabu (19 April) bagi memudahkan urusan guru terutama yang bertugas di negeri lain.
"Pemberian cuti khas ini memberikan lebih ruang kepada guru dan rakyat Malaysia yang terpaksa merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Hal ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberikan lebih keselesaan kepada semua pihak," katanya.
0 Comments