Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dua opsyen pembantu guru dicadangkan


SEREMBAN - Pembantu pengajar perlu hadir dalam bentuk dua opsyen bagi memastikan kewujudannya benar-benar memberi impak positif terhadap sektor pendidikan tanah air.
Demikian pandangan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam isu berkenaan.

“Kita cadangkan dua jenis pembantu pengajar di sekolah. Pertama berkaitan pentadbiran dan operasi, tapi langsung tak melibatkan tugas pengajaran.

“Satu lagi berkaitan perkhidmatan pengajaran seperti penyemakan pelajaran, membantu proses PdPc (pembelajaran dan pemudahcaraan), pengiraan gred serta penyeliaan aktiviti luar kelas,” katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, Kementerian Pendidikan perlu buat kajian secara terperinci.

“Projek rintis pembantu pengajar yang melibatkan jenis tugas pengajaran mesti dimulakan dengan ambil kira beberapa aspek.

“Antara yang perlu dipertimbangkan macam keperluan murid di sesebuah sekolah, kos kewangan, kelayakan akademik dan kemampuan kementerian sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azizee turut berharap agar projek rintis membabitkan pembantu guru yang dilaksanakan di Kedah dan Melaka sejak 2012 dapat dinaik taraf.

“Mereka yang dilantik melalui perjawatan sebagai pembantu tadbir dan pembantu guru berstatus sambilan perlu diangkat kepada perjawatan tetap bagi gred N17 dan N19.

“Kita juga mengesyorkan agar perjawatan ini diperluaskan lagi ke negeri lain untuk membantu meringankan tugas guru. Tapi kena beri pendedahan serta kemahiran pada mereka untuk guna aplikasi dibangunkan kementerian macam APDM (Aplikasi Pangkalan Data Murid), HRMIS (Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia) dan sebagainya,” katanya.

Paling penting, katanya, kewujudan pembantu pengajar atau pembantu guru mesti menuju kepada peningkatan akademik dan pembentukan sahsiah murid.

“Sekali gus, usaha ni akan mampu melonjakkan kecemerlangan sekolah luar bandar yang memerlukan lebih tumpuan akademik dan akses kemudahan pembelajaran,” katanya.

loading...