Hot Posts

6/recent/ticker-posts

3 pelajar SMK Kuala Besut ditawar ikuti latihan IAEA

TIGA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Terengganu yang ditabalkan sebagai juara Program Pemba­ngunan Sumber Manusia untuk Tenaga Nuklear peringkat antarabangsa di Gyeongju Korea Selatan, baru-baru ini, ditawarkan menjalani latihan dan pekerjaan di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) apabila tamat pengajian nanti.

Guru pengiring, Faizul Abd Rahman berkata, sejurus selepas pertandingan itu, wakil IAEA ada menawarkan peluang program latihan kepada mereka bagi membolehkan mereka mendalami bidang tenaga nuklear di bawah agensi tersebut secara meluas.
“Melalui bimbingan berterusan, latihan dan pendedahan pengetahuan yang lebih luas akan membantu mereka menguasai ilmu serta kemahiran dalam bidang tenaga nuklear dengan lebih dalam sekali gus membiasakan mereka dengan persekitaran pertandingan peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama tiga pelajar tersebut, Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17, Muhammad Anuar Abd. Ghani, 17, dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16, dari Korea Selatan, baru-baru ini.

Ketibaan pasukan Kubest Innovation Team itu disambut oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Pasukan itu meletakkan Malaysia sebaris dengan kehebatan negara-negara maju lain apabila berjaya menewaskan 520 murid mewakili 188 pasukan dari 30 negara anggota IAEA terma­suk Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan.

Tema pertandingan ialah 100 Perkara Mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan.

Kejayaan mereka hasil bim­bingan dan seliaan Unit Inovasi SMK Kuala Besut yang diketuai Faizul dengan dibantu dua guru lain, Wan Zul Azri Wan Mod Shatar dan Rohaya Husin.

loading...