Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jangan samakan pendidikan percuma Malaysia dengan sesetengah negara lain

BESUT 15 April - Rakyat negara ini perlu memahami hakikat bahawa ada pihak lain yang terpaksa memikul tanggungjawab membayar segala perbelanjaan jika pendidikan percuma ingin dilaksanakan sepenuhnya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebenarnya kos untuk membiayai pendidikan di negara ini sudah hampir ke tahap percuma.

Katanya, di sesetengah negara yang didakwa memberikan pendidikan percuma tetapi rakyatnya pula dibebani dengan Cukai Barangan Perkhidmatan (GST) yang jauh lebih tinggi berbanding dengan negara ini yang hanya menetapkan sebanyak enam peratus.

Menurutnya, kerajaan memahami kemampuan rakyat dan berusaha menyediakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 200,000 pelajar selain biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah di Demong Beach Resort, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Senator Engku Naimah Engku Taib.

Dalam majlis itu, seramai 321 orang guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dari 22 buah sekolah menengah dan 54 buah sekolah rendah daerah ini diraikan.

Dalam pada itu, Idris meminta warga pendidik agar bersungguh sungguh dalam melaksanakan tugas ke arah melahirkan budaya kecemerlangan bagi diri dan juga pelajar.

Beliau berkata, usaha itu boleh dilaksanakan kerana di kebanyaan tempat kini memiliki banyak kemudahan pendidikan dan persekitaran yang kondusif bagi membantu menjayakan hasrat tersebut. - UTUSAN ONLINE

loading...