Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Ubah sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu

DR Lim Swee Tin. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KUALA LUMPUR : Sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu perlu diubah berdasarkan ramainya jumlah orang bukan Melayu yang masih tidak tahu berbahasa Melayu walaupun sesudah 60 tahun mencapai kemerdekaan.

Penulis dan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara ( SEA Write) 2000, Dr Lim Swee Tin berkata jumlah itu akan bertambah selagi tiada pembaharuan sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan itu dibuat.

"Susah sangatkah kita hendak bercakap bahasa Melayu dan menjaga bahasa kebangsaan ini? "Susahkah hendak menerima bahasa ini sedangkan ini bahasa kita.

"Adakah kita menindas mana-mana pihak atau zalim apabila bercakap hal ini sedangkan ini adalah negara kita dan kita adalah warganya," katanya.

Swee Tin berkata demikian sebagai ahli panel dalam bengkel prakongres Kongres Budaya dan Bahasa 2017 di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bengkel yang dikendalikan oleh ahli lembaga pengelola DBP, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah itu turut menjemput Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah Institut Alam Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Norhashimah Jalaludin dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Prof Datuk Ir Wan Ramli Wan Daud sebagai panel.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga DBP Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Timbalan Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehudin Abang Shoekran.

Swee Tin berkata, kelumpuhan yang terjadi kepada bahasa Melayu hari ini sebenarnya berpunca dari diri kita sendiri yang memandang rendah kepada bahasa kebangsaan itu.

"Kita dalam keadaan kucar kacir dan terluka yang tidak berkesudahan bila bercakap tentang bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu Norhashimah berkata, kedudukan bahasa Melayu tidak disebut dengan jelas dalam program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Yang diambil pandangan adalah golongan muda yang merupakan cohort program pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik ( PPSMI).

"Mereka adalah golongan muda yang mempunyai jati diri yang rapuh," katanya. Bengkel prakongres yang dianjurkan oleh GAPENA, ATMA dan DBP itu adalah sebahagian program sebelum berlangsungnya Kongres Budaya 2017 pada 15 April di UKM.

Sumber: Bharian

jobs from my.neuvoo.com

Post a Comment

0 Comments