Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jumlah guru terlibat kes cabul amat kecil, KPM tidak lepas tangan - Mahdzir

Mahdzir Khalid beramah mesra dengan
pelajar-pelajarketika melawat 
Bilik Matematik PA21 di Sekolah Menengah
 Kebangsaan Alor Akar, Kuantan, Pahang, semalam.
Turut hadir, Rosdi Ismail
(berdiri, empat dari kanan).
UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN 3 Nov. – Tindakan pihak tertentu yang menggambarkan seolah-olah semua guru di negara ini melakukan perbuatan cabul terhadap murid dan pelajar sekolah adalah tidak adil.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah guru yang melakukan kesalahan itu terlalu sedikit dibandingkan dengan keseluruhan guru di negara ini iaitu seramai 430,000 orang.
“Dalam kes cabul atau melakukan gangguan seksual ini, kementerian melihatnya sebagai suatu yang serius. Kita setuju dengan pandangan sesetengah ahli yang berhormat, mengapa kita pindahkan guru itu ke sekolah lain sedangkan dia melakukan kesalahan sebelum ini.

“Saya mempunyai pandangan peribadi tentang perkara ini, kita bertindak dari satu kes ke satu kes. Daripada 430,000 guru, bukan semua yang melakukan perbuatan ini, jumlahnya terlalu sedikit.

“Tetapi, ahli Parlimen pembangkang menggambarkan seolah-olah semua guru (terlibat). Mereka memberikan satu persepsi salah terhadap guru dan bercakap seolah-olah tiada tindakan diambil oleh kementerian,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, akan meneliti dan mengambil kepentingan peribadi dalam kes membabitkan seorang guru yang didakwa mencabul sembilan murid di sebuah sekolah Tamil di Hulu Selangor, Selangor.

Berhubung tindakan terhadap guru yang didakwa melakukan perbuatan cabul atau gangguan seksual di sekolah, Mahdzir berkata, pihaknya memerlukan bukti kukuh yang mengesahkan guru terbabit berbuat demikian.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan Kementerian Pendidikan China sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Beijing minggu ini.

Kata beliau, kerjasama tersebut melibatkan empat aspek utama iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), sukan dan multimedia serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Jelasnya, perincian berhubung kerjasama berkenaan bagaimanapun hanya akan ditentukan pada tahun hadapan.

“Kita baharu menandatangani MoU itu dan secara prinsipnya kita bersetuju namun perinciannya belum ada. Insya-Allah pada tahun hadapan kita akan berbincang dan melihat dari sudut mana boleh bekerjasama,” katanya.


jobs from my.neuvoo.com

Post a Comment

0 Comments