Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Jangan serang guru di media sosial"

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) meminta semua pihak agar tidak menyerang pihak sekolah atau guru dalam media sosial.

Presidennya Hashim Adnan berkata pelbagai tohmahan dilemparkan ke atas guru dan pengetua sesebuah sekolah apabila berlaku sesuatu kejadian yang melibatkan pelajar dan guru.

"Banyak sangat video dan perkara memfitnah guru sedang berleluasa di media sosial seperti laman Facebook, aplikasi WhatsApp dan sebagainya. Ada juga perkara yang diputar belitkan oleh sesetengah pihak," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kebangsaan KPPK kali kelapan (2014-2017) di sini, hari ini.

Tanpa menjurus kepada sesuatu isu secara spesifik, beliau berkata tindakan memviralkan sesuatu perkara yang menjadi budaya di laman sosial sejak kebelakangan ini menjejaskan dan menimbulkan kerisauan serta tekanan mental kepada guru.

Katanya, imej profesion guru yang mulia juga tercalar akibat tindakan sesetengah guru, pelajar dan ibu bapa yang sengaja memperbesarkan perkara kecil di media sosial.

‎Hashim juga meminta guru, ibu bapa atau pelajar supaya menggunakan saluran betul jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara yang melibatkan pihak sekolah. - Bernama

Post a Comment

0 Comments