![]() |
PAKAR bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim. |
Pakar bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata konsep bahasa merentas kurikulum itu tidak berlaku kini sebaliknya hanya dilakukan oleh guru Bahasa Melayu.
Beliau berkata, guru daripada subjek lain dilihat sekadar mementingkan ketepatan fakta tanpa sedikitpun terbabit dengan pengamalan bahasa Melayu di kalangan pelajar.
"Ini salah tanggapan pendidik hari ini. Guru yang mengajar subjek Matematik atau Sains misalnya hanya mementingkan fakta sedangkan mereka juga perlu memperbetulkan kesalahan mengarang yang dibuat pelajar dalam mata pelajaran terbabit.
"Tidak kira apa juga mata pelajaran, guru perlu memperbetulkan bahasa pelajar. Tidak sepatutnya konsep pengajaran bahasa, pengamalan dan penggunaannya yang baik terbatas menjadi sekadar tanggungjawab guru bahasa Melayu saja," katanya pada Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) 2016 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.
Nik Safiah dalam masa sama turut mengingatkan peranan penting pendidik dan bakal pendidik dalam melahirkan pelajar yang menguasai bahasa Melayu dengan baik. Katanya, ketidakupayaan guru mengajar sistem bahasa Melayu formal bukan saja akan menyebabkan pelajar tidak terdidik dalam bahasa Melayu, bahkan melahirkan pelajar yang tidak pandai berkomunikasi.
"Aspek ini penting kerana pelajar yang tidak pandai berbahasa akan sukar berfikir dan berhujah sedangkan kita berkomunikasi dengan menggunakan bahasa.
"Seandainya bahasa digunakan tidak betul, maka komunikasi mereka bukan saja tidak berkesan malah tidak indah dan buruk," katanya. Ceramah Umum JKTBM yang bertajuk Bahasa Melayu Dalam Dunia Pendidikan: Cabaran Kini dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama UPSI.
Ditubuhkan pada tahun 1972, JKTBM menjadi badan penting dalam menentukan dasar perancangan bahasa dan menetapkan pedoman penggunaan bahasa Melayu yang betul sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan antara bahasa utama dunia.
Berita Harian
0 Comments