Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sekolah perlu kembalikan BAP dipotong - Fadhlina

FADHLINA ketika sidang media di SMJK Yu Hua, Kajang. FOTO Aizuddin Saad

Kajang: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta mana-mana sekolah yang memotong Bantuan Awal Persekolahan (BAP) supaya mengembalikan semula wang itu kepada ibu bapa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ini disebabkan BAP sebanyak RM150 yang diberikan oleh kerajaan kepada ibu bapa itu mestilah diberikan dalam jumlah penuh.

"Seperti mana yang saya sebut, ia mesti jumlah yang diberikan sepenuhnya.

"Kalau ada aduan, kita minta kemukakan dan kita akan siasat. Jumlah itu mesti dikembalikan," katanya selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura BAP Peringkat Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua di sini hari ini.

Sebelum ini menerusi satu perkongsian di laman sosial X, seorang individu dipercayai ibu bapa yang menggunakan akaun sam_me25 mendakwa dirinya hanya menerima RM50 daripada sekolah ketika proses pengagihan BAP.

Dakwanya, ini disebabkan mereka perlu membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta koperasi menggunakan wang itu.

Mengulas lanjut, Fadhlina mengharapkan dengan pengagihan BAP, ia dapat meringankan beban ibu bapa.

"Mudah-mudahan dengan bantuan awal persekolahan ini, dapat kita ringankan beban ibu bapa khususnya dengan beberapa penekanan antara lain tidak boleh dipotong BAP ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan majlis graduasi anjuran sekolah di hotel mewah, Fadhlina berkata, perkara seperti itu membabitkan konsultasi bersama ibu bapa.

Beliau berkata, sekiranya ada bantahan daripada ibu bapa, ia seharusnya diambil perhatian.

"Perbincangan dan konsultasi dengan PIBG sangat penting, kena selesaikan di peringkat sekolah. Kalau ada bantahan, kena diambil pandangan.

"Yang kedua kita galakkan majlis yang sederhana tapi meriah dan penuh penghargaan khususnya kepada anak-anak kita. Yang penting majlis itu dilaksanakan dengan penuh kesederhanaan untuk meraikan semua," katanya.

Post a Comment

0 Comments