Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Peribadi seimbang, ibu bapa perlu jadi 'guru' pertama murid

Imej hiasan


SEORANG guru selalunya dikaitkan dengan sekolah. Namun, guru juga boleh dikaitkan dengan rumah. Lahir sahaja seorang bayi, maka pada saat itu juga pasangan suami isteri akan menjadi guru kepada anaknya.

Menjadi ibu bapa bukan hanya bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan anak, tetapi menjadi guru pertama kepada si cahaya mata sebelum mereka menjejakkan kaki ke dunia persekolahan.

Namun, masih ada ibu bapa yang lupa akan tanggungjawab untuk mendidik anak sebaik sahaja mereka menempuhi alam persekolahan.

Orang kata 'masa itu emas'. Ibu bapa mempunyai tempoh satu sehingga empat tahun untuk meluangkan masa bersama anak sebelum mereka menempuhi era persekolahan. Tanpa disedari tempoh empat tahun itu akan berlalu dengan sangat cepat.

Tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan kebajikan anak terjaga itu adalah perkara biasa. Apa yang ibu bapa sering lupa adalah tanggungjawab sebagai ibu bapa ini lebih daripada yang difikirkan.

Bagi memastikan anak mampu berhadapan dengan onak duri kehidupan pada usia seterusnya, ibu bapa perlu membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kesedaran mengenai dunia luar yang umumnya mempunyai pelbagai cabaran.

Ajarkan anak mengenai pergaulan, komunikasi, pembangunan rohani, kemahiran sara diri dan penguasaan mental kerana semua itu sangat penting.

Ramai ibu bapa yang menekankan mengenai pencapaian pendidikan sahaja sehingga lupa akan perasaan dan kemahuan anak itu sendiri atau kesejahteraan mental mereka.

Sebagai guru pertama kepada anak, seharusnya ibu bapa lebih peka dengan perkembangan bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, tetapi juga perlu peka terhadap sosial, mental dan rohani malah paling utama adab sopan dan budi pekerti.

Peka perkembangan sosial, mental dan rohani

Selain itu perlu juga diajar mengenai tatacara bergaul dan komunikasi yang betul. Hal ini adalah sangat penting kerana kemahiran itu digunakan setiap masa dalam kehidupan anak, terutama apabila mereka mula terdedah dengan persekitaran luar. Penyampaian yang betul dan efektif pasti akan mempengaruhi pengalaman anak dalam aspek pembelajaran, persahabatan dan aspek pekerjaan.

Pengetahuan dan kesedaran dari aspek rohani juga tidak kurang penting bagi membentuk dan memimpin anak dalam membezakan hal baik atau buruk. Perkembangan rohani sangat penting dipelihara supaya dapat membentuk peribadi anak yang bermoral dan beretika.

Pengurusan emosi juga adalah satu aspek yang sangat penting. Semakin meningkat usia maka bertambah banyak dugaan yang mampu menjejaskan pembentukan peribadi, justeru perlunya mereka mempunyai ketahanan mental dan pengurusan emosinya baik.

Malah, pada era kehidupan sekarang, pengurusan emosi sangat penting. Jika tidak, maka tumpaslah di pertengahan jalan kehidupan.

Namun, setakat menjalankan tanggungjawab dalam mendidik anak tidak juga begitu tepat. Sebaliknya, ibu bapa juga perlu menjadi dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak.

Mendidik dan mempraktikkan perkara yang diajarkan kepada anak adalah kaedah pembelajaran terbaik. Hal ini kerana ia sangat telus dan dapat dilihat anak. Mereka akan bertindak melalui panduan ibu bapa secara langsung. Malah, anak akan mencerminkan ibu bapa mereka.

Sedarilah peranan ibu bapa bukan setakat mengasuh dan mendidik sahaja, tetapi membentuk peribadi anak-anak secara seimbang. Pembentukan peribadi anak yang seimbang pasti akan mempengaruhi perjalanan cerita kehidupan mereka pada masa akan datang.

Jadilah ibu bapa yang berjalan bersama-sama anak tanpa berasa tanggungjawab itu satu bebanan. Sebaliknya jalani ia sebagai amanah dan lakukan dengan tenang, santai dan penuh syukur.

Shendah Jahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Post a Comment

0 Comments