PUTRAJAYA: Semua penjawat awam akan dinilai menggunakan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP) bermula tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata pelaksanaan sistem DEEP telah dipersetujui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurutnya, melalui sistem DEEP, kaedah penilaian bermula dengan mata 100 peratus dan demerit dikenakan jika penjawat awam berkenaan gagal mencapai objektif ditetapkan.
"Tujuan kita perkenal (DEEP), kaedah penilaian baharu adalah untuk pastikan pertamanya kita buat penilaian atas keupayaan dan kesungguhan pegawai laksana tanggungjawab diberikan.
"DEEP ini kita bagi (markah) 100 peratus. Kita demerit kalau katakan tidak capai petunjuk prestasi utama (KPI) atau tugasan gagal laksana," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat 2024 di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapan amanatnya, Mohd Zuki berkata sistem DEEP dibuat bukan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi bagi memastikan sistem penilaian relevan.
"Penilaian tepat dan adil adalah mustahak dan ia akan memberikan impak (kepada perkhidmatan awam)," katanya.
Sementara itu, beliau meminta seluruh warga perkhidmatan awam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita semua perlu pastikan dasar diperkenal kerajaan disokong sebaik mungkin di semua peringkat," katanya. - BERNAMA
0 Comments