Hot Posts

6/recent/ticker-posts

SPM: KPM setuju ubah jadual Jumaat, Sabtu & Ahad

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau


KOTA KINABALU: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini tidak lagi dijalankan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bagi membolehkan calon menghadiri program keagamaan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata perubahan jadual itu untuk membolehkan calon beragama Islam menunaikan solat Jumaat, manakala pelajar Kristian Seventh Day Adventist (SDA) ke gereja pada Sabtu serta pelajar Kristian Roman Catholic dan Protestan pada Ahad.

"Saya membawa perkara ini di Parlimen beberapa kali untuk mendapatkan pertimbangan kerajaan supaya mengubah jadual peperiksaan SPM membabitkan Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Bukan mudah dan terpaksa melalui beberapa cabaran.

"Bagaimanapun, usaha itu membuahkan hasil selepas Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju dengan cadangan yang saya kemukakan pada 2021," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 38,778 calon berdaftar menduduki SPM seluruh Sabah membabitkan 315 pusat peperiksaan dan seramai 2,448 petugas peperiksaan.

Menurut beliau, hasil persetujuan KPM, jadual peperiksaan SPM tidak lagi jatuh pada ketiga-tiga hari beribadah itu.

"Ia seiring dengan falsafah pendidikan kebangsaan iaitu ke arah mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Tangau berkata, penjadualan semula SPM itu juga dalam memupuk pelajar untuk menjiwai prinsip rukun negara yang dimulakan dengan pertama kepercayaan kepada Tuhan.

Sehubungan itu, beliau mendoakan kecemerlangan untuk semua calon SPM terutama di Sabah.

Post a Comment

0 Comments