Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Pindaan akta pendidikan wajib buka lembaran baharu

Imej hiasan


SEMUA orang mempunyai hak kepada pendidikan. Pendidikan mestilah percuma, sekurang- kurangnya di peringkat rendah dan asas. Pendidikan rendah mestilah diwajibkan.

Pendidikan teknikal dan profesional mestilah boleh diperoleh secara umum dan pendidikan tinggi mestilah boleh diakses secara sama-rata atas penilaian merit." - Perkara 26 Deklarasi Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan untuk mewajibkan pendidikan menengah. RUU ini bukanlah suatu yang baharu tetapi acapkali menjadi perbincangan dalam kalangan aktivis pendidikan termasuklah oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Malah ketika Majlis Perundingan Belia Negara Sidang II Penggal ke-33187 Sesi 2021-2022, Presiden Fazreen Ismadi telah membawa dan membahaskan usul bagi pindaan Seksyen 29A(2) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) untuk mendesak kerajaan agar mewajibkan pendidikan menengah. RUU ini menjadi perhatian kepada ramai ahli masyarakat yang ingin melihat apakah kesan kepada pindaan Akta 550 tersebut nanti.

Khususnya, pindaan yang dicadangkan adalah pada Seksyen 29A(2) Akta 550 iaitu untuk pindaan tempoh pendidikan wajib daripada sekolah rendah seperti sedia ada sekarang kepada pendidikan wajib sehingga peringkat sekolah menengah. Dalam erti kata yang lain, sekiranya diluluskan dan diwartakan, pelajar perlu menjalani tempoh wajib persekolahan selama 11 tahun sehingga tingkatan 5.

Cuma tidak dapat dipastikan sama ada pindaan ini akan memberikan kesan kepada subseksyen 4 seksyen 29A tersebut sekiranya Kementerian Pendidikan ingin menambah sebarang hukuman ketidakpatuhan 1909 kepada seksyen 29A(2) Akta 550.

Dalam peruntukkan seksyen 29A(4) Akta 550 yang sedia ada, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang melanggar subseksyen 2 iaitu gagal memastikan anak-anak dalam jagaan menjalani tempoh pendidikan wajib telah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Jumlah denda dan hukuman ini mungkin sesuai pada tahun pindaan 29A dibuat tetapi kini haruslah dikaji semula sama ada ia sesuai atau tidak untuk dikekalkan pada masa kini.

Terdapat banyak justifikasi yang membawa kepada keperluan pindaan undang-undang ini antaranya ialah menangani masalah keciciran pelajar. Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali@ Mat Jali, kadar penyertaan murid di peringkat sekolah menengah hanyalah 93.48 peratus manakala bakinya tidak meneruskan persekolahan sehingga tingkatan 5.

Beliau juga menyatakan bahawa suatu pindaan diperlukan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi mengembangkan potensi masing-masing. Inilah semangat sebenar pindaan Akta 550 ini dan bukanlah hanya berniat untuk menghukum ibu bapa semata-mata.

Hakikatnya, peruntukan undang-undang berkenaan dengan pendidikan wajib ini adalah hampir serupa dengan Singapura melalui Akta Pendidikan Wajib 2000. Bagi Singapura, takrifan 'umur wajib persekolahan' adalah kanak- kanak yang berumur atas enam tahun dan tidak melebihi 15 tahun. Bagi ibu bapa yang gagal mematuhi seksyen 3(2) Akta Pendidikan Wajib tersebut sekiranya disabitkan bersalah akan berhadapan dengan denda tidak melebihi SD5,000 (RM17,445) atau dipenjara untuk tempoh tidak melebihi 12 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tidak hanya di Singapura, di New South Wales Australia juga mempunyai tesimi perundangan seperti ini iaitu Akta Pendidikan 1990 No. 8 yang mana dalam seksyen 21B mempunyai peruntukan yang hampir sama.

Tetapi perundangan di New South Wales Australia ini lebih terperinci berkenaan umur wajib persekolahan. Misalnya umur persekolahan wajib bagi kanak-kanak adalah melebihi enam tahun dan di bawah umur minimum tamat sekolah iaitu pelajar yang menamatkan tahun 10 pendidikan menengah atau berumur 17 tahun. Terdapat juga keadaan yang mengecualikan pendidikan di bawah 17 tahun iaitu bagi pelajar yang mengikuti latihan yang diluluskan seperti latihan vokasional yang diiktiraf kerajaan Australia.

Dalam hal ini, kerajaan mungkin boleh mengambil kira pendidikan vokasional bersama-sama dalam pindaan RUU Pendidikan ini nanti. Ini akan memberikan jalan keluar kepada mana-mana pelajar yang tidak berminat dengan subjek aliran perdana untuk mengambil dan meneruskan penerokaan minat dalam bidang vokasional dan teknikal pula.

Mereka ini jugalah yang akan menjadi penyumbang kepada tenaga kerja separa mahir atau mahir kelak. Namun, perlu diingatkan bahawa untuk menjayakan misi mengurangkan keciciran pelajar sudah pasti penglibatan ibu bapa adalah yang paling utama. Penguatkuasa undang-undang sahaja tidak mampu untuk menarik perhatian dan membina kesedaran ibu bapa bahawa perlunya anak-anak mereka menamatkan pendidikan di peringkat menengah.

Lebih-lebih lagi kini peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dimansuhkan dan dengan yang demikian, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) merupakan satu-satunya peperiksaan am untuk menilai dan menyaring kedudukan dan kualiti sistem pendidikan negara.

Tuntasnya, pindaan Akta 550 ini sungguh dinantikan dan diharapkan dapat dibentang, lulus dan diwartakan dengan segera. Namun sudah pasti ketersediaan sistem pendidikan baik dalam aspek bilangan guru, kemudahan sekolah, bilangan sekolah dan ekosistem pembelajaran itu adalah faktor penentu sama ada pindaan ini akan menjadi signifikan atau sekadar pindaan semata- mata sebagaimana undang-undang yang lain. Pilihan semestinya di tangan kita semua.

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Post a Comment

0 Comments