![]() |
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meninjau SJKC Yeong Chang, di Sungai Suloh, Batu Pahat, hari ini. - Foto NSTP/Alias Abd Rani |
BATU PAHAT: Ibu bapa diminta membuat laporan terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) jika mendapati harga makanan di kantin sekolah mengalami kenaikan.
Saranan itu disuarakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan ada ibu bapa mendakwa harga makanan tidak sama seperti sebelum ini.
Beliau berkata, pihak sekolah perlu memantau jika berlaku kenaikan seperti didakwa dan kementerian bersedia mengambil perhatian sekiranya ada aduan.
"Saya minta sekolah ambil tindakan (jika didapati berlaku kenaikan) kerana ia membabitkan kantin dengan sekolah.
"Pengurusan kantin ini membabitkan sekolah, jadi mereka ada hak untuk membuat pemantauan terhadap harga makanan.
"Namun, setakat ini, aduan mungkin hanya membabitkan kantin dengan sekolah. Tetapi, ibu bapa boleh membuat aduan terus kepada kementerian," katanya selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, di Sungai Suloh, di sini hari ini.
Fadhlina meminta pengusaha kantin sekolah merujuk kembali garis panduan ditetapkan oleh KPM berhubung isu kenaikan harga makanan di kantin-kantin sekolah.
Ini kerana katanya, isu harga makanan adalah besar kerana bukan sahaja dengan kontraktor kantin dan juga sekolah, tetapi Kementerian Kesihatan.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, beliau meminta isu kenaikan harga makanan diselesaikan secara baik jika dibangkitkan ibu bapa.
"Dalam hal ini, ibu bapa boleh terus membuat aduan kepada KPM," katanya.
0 Comments