Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kaji semula pengambilan guru bukan bidang pendidikan - Pensyarah

Imej hiasan

BIDANG perguruan memerlukan minat dan kemahiran khusus dikuasai guru serta bakal guru. Pelbagai proses perlu dilalui mereka sebelum diterima masuk sebagai pelajar dalam bidang pendidikan untuk mendidik generasi pewaris negara pada masa akan datang.

Antara perlu dilalui adalah menduduki Ujian Invetori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) dan menghadapi tapisan temu duga sebelum diterima sebagai pelajar dalam bidang pendidikan.

Ini penting kerana bidang pendidikan bukan hanya memerlukan guru berpengetahuan, tetapi lebih penting lagi berjiwa pendidik, karektor dan kesungguhan serta kebolehan mengawal emosi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam atau luar bilik darjah.

Tambahan pula, proses penyampaian ilmu memerlukan guru memahami, menguasai dan mengamal pelbagai teknik dalam memastikan objektif pembelajaran dicapai serta proses PdP berjalan dengan baik.

Oleh itu, tindakan atau keputusan pengambilan guru dalam kalangan mahasiswa lepasan universiti, tetapi bukan aliran pendidikan perlu disemak semula bagi memastikan guru dilahirkan bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, bahkan mempunyai karakter berjiwa pendidik.

Dalam pada itu, tempoh pengajian bakal pendidik di universiti awam (UA) juga berbeza. Mereka perlu menghabiskan pengajian selama empat tahun dan mempelajari pelbagai asas pendidikan seperti pedagogi serta falsafah pendidikan.

Bukan menidakkan kemampuan mereka tidak mengikuti pengajian dalam pendidikan, namun individu memiliki ijazah dalam bidang pendidikan perlu diberikan keutamaan terlebih dahulu untuk mengisi kekosongan jawatan guru.

Ramai masih tunggu panggilan temu duga

Ramai lepasan universiti dalam bidang pendidikan masih menunggu panggilan temu duga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk melaksanakan cita-cita bergelar pendidik.

Seharusnya, mereka diberikan laluan utama dan peluang terlebih dahulu untuk mengisi kekosongan jawatan guru yang diperlukan dalam sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu, keputusan pengambilan guru daripada lepasan siswazah bukan aliran pendidikan perlu dikaji secara holistik, bukan sekadar memenuhi keperluan tenaga kerja sahaja.

Pada masa sama, guru sedang memohon perpindahan ke negeri asal masing-masing juga perlu diberikan keutamaan sebelum pengambilan guru baharu dan penetapan penempatan dilakukan.

Ini bagi memberi peluang kepada guru terpisah lama daripada keluarga kembali dan berkhidmat di tempat kelahiran mahupun tempat pilihan mereka selepas lebih lima tahun berkhidmat.

Walaupun tindakan ini dianggap kecil bagi sesetengah pihak, bagi guru yang sudah lama berkhidmat, tindakan ini dilihat sebagai sikap 'peduli' dalam memastikan kebajikan guru terbela.

Oleh itu, penempatan guru baharu wajar diputuskan selepas penempatan guru memohon perpindahan disusun semula. Tambahan pula, pengambilan dan penempatan lepasan siswazah bukan dalam aliran pendidikan perlu mengutamakan lepasan bidang pendidikan.

Metodologi tersendiri perlu diwujudkan bagi memastikan penempatan guru baharu atau perpindahan guru sudah lama berkhidmat mencapai penyelesaian dan diberikan keutamaan.

Ini penting untuk memastikan sistem pendidikan di Malaysia terus bergerak seiring kehendak pasaran global dan memenuhi aspirasi negara.

Dr Siti Sabihah Ghazali
Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Post a Comment

0 Comments