![]() |
Imej hiasan |
PETALING JAYA – Ibu bapa yang risau tentang kesihatan anak-anak mereka ekoran jerebu dibenarkan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah, namun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Itu antara 10 garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini kepada sekolah dan institusi pendidikan di bawah pentadbirannya bagi menghadapi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Dalam garis panduan KPM di Twitter itu memberitahu, penutupan sekolah juga perlu segera dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Menurutnya, aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid pula harus dihentikan, manakala aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan disarankan ditangguhkan apabila IPU melebihi 100.
“Jika IPU melebihi 500, semua guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.
“Guru harus diberi tugasan sewajarnya jika sekolah ditutup. Sekolah hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui media massa mengenai cuaca berjerebu di kawasan masing-masing.
“Keputusan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang kurang daripada 200 dan trend penurunan bacaan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, murid-murid dinasihatkan memakai pelitup muka serta meminum air dengan kerap dan sekolah hendaklah merujuk murid yang tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.
“Bagaimanapun, semua jenis peperiksaan, termasuk peperiksaan awam akan diteruskan seperti biasa,” ujarnya.
Semua langkah tersebut sejajar dengan misi KPM untuk menyediakan persekitaran pendidikan yang selamat, kondusif dan berkualiti bagi semua komuniti pendidikan di Malaysia.
0 Comments