Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Akhlak baik guru faktor bentuk sahsiah murid



Kebelakangan ini hampir saban hari kita mendengar dan membaca mengenai masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan murid sekolah juga pelajar institut pengajian tinggi.

Banyak sebab dikaitkan sebagai punca, namun perkara sebegitu jika tidak ditangani dengan baik akan menjadi pembunuh senyap kepada pembentu kan karakter individu. Setiap anak seharusnya tumbuh sebagai insan kamil yang berketrampilan dan berakhlak mulia. Justeru, sebagai ibu bapa, guru, rakan dan ahli masyarakat kita perlu mengembleng tenaga membantu merealisasikan hasrat ini.

Satu hal yang nyata, setiap manusia itu secara fitrahnya memerlukan sentuhan kasih sayang dan perhatian ahli keluarga, guru dan rakan taulan. Ia adalah bekal terbaik untuk mereka meneruskan hidup yang penuh cabaran.

Jadi, sebagai ibu bapa atau guru, berikan nasihat yang baik, galakan dan perangsang untuk mereka menjadi kuat. Bagi ibu bapa, sentuhan atau pelukan berlandaskan syariat adalah hal yang terbaik. Ia akan menjadi kekuatan kepada anak membesar dan berjaya.

Bagi guru atau pendidik, di bahu anda ada tanggungjawab yang besar. Anda seharusnya memainkan peranan selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam mendidik anak bangsa yang menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.

Justeru, ia adalah amanah besar, maka haruslah dipandang serius oleh semua yang bergelar pendidik. Mereka juga harus bersifat terbuka dalam menerima kepelbagaian latar belakang pelajar dari segi agama, status sosial dan hubungan kekeluargaan.

Malah, mereka dituntut bersifat adil dan tidak berat sebelah dalam memberikan pendidikan kepada pelajar, terutama dalam menonjolkan sifat kasih sayang kepada murid.

Kaedah ini bertepatan dengan pandangan ulama besar zaman silam, Ibnu Hajar al-Haitami yang menekankan teras utama pendidikan ialah 'al-i'tiram wa al-syafaqah' bermaksud saling menghormati
berkasih sayang. Melalui teras ini, hubungan sihat antara guru dan pelajar dapat diwujudkan lebih-lebih lagi secara fitrahnya akhlak baik yang dipamerkan oleh seseorang guru boleh menjadi faktor tarikan pelajar untuk bersungguh-sungguh mendalami ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung, perasaan hormat dan terinspirasi dengan akhlak baik pendidik boleh diwujudkan dalam diri seseorang murid tanpa paksaan.

Sebenarnya hal ini bukan asing dalam sejarah Islam. Misalnya, kita biasa membaca mengenai akhlak baik guru zaman silam yang menjadi tarikan anak murid untuk menuntut ilmu. Contohnya, akhlak yang ditunjukkan ulama Turkiye, Bediuzzaman Said Nursi dalam menyebarkan ilmu kepada orang ramai.

Dalam banyak penceritaan mengenai beliau, dikatakan ulama itu menyampaikan ajarannya dengan gaya bahasa menenangkan, lenggok bahasa tubuh yang memberikan perhatian sepenuhnya dalam sesi soal jawab selain memberikan maklum balas bernas sesuai dengan khalayak.

Malah, diceritakan mengenai kemampuan beliau mengubah sisi gelap penjara kepada sebuah taman ilmu dikenali sebagai Sekolah Yusuf, yang berperanan membimbing banduan ke arah jalan kebenaran.
Pendekatan pendidikan melalui sifat kasih sayang yang ikhlas ditunjukkan ulama silam itu terbukti boleh menjadi tarikan utama untuk mengikuti pembelajaran.

Secara tuntasnya, elemen sentuhan kasih sayang tidak boleh dipandang enteng dalam memastikan pendidikan yang berkesan dapat dilaksanakan pada peringkat sekolah, mahupun peringkat institusi pengajian tinggi.

Sebagai seorang pendidik, kita harus peka dan kreatif dalam mempamerkan sifat kasih sayang supaya ia boleh disalurkan dengan cara yang profesional dan penuh integriti. Hal ini membantu dalam meninggalkan kesan yang positif bagi pembentukan sahsiah seseorang pelajar.

Siti Jamilah Mohd Sukri
Kolej Antarabangsa YPC

Post a Comment

0 Comments