Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Satukan pendidikan Islam dan Kafa untuk kebaikan murid, kata pensyarah



PETALING JAYA: Seorang ahli akademik mengesyorkan sistem pendidikan Islam disatukan bagi memudahkan pengurusan pembelajaran dan menjimatkan masa murid.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia percaya menyatukan pendidikan Islam yang disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mensejahterakan dan tidak membebankan murid-murid.

“Sepatutnya kedua-duanya disatukan sebab ini akan lebih memudahkan pembelajaran murid dan menjimatkan masa. Mengapa perlu berbeza kerana yang belajar itu anak yang sama,” katanya kepada FMT.

Anuar berkata antara langkah yang boleh diambil untuk menyelaraskan pendidikan Islam ialah Jakim menyerahkan pelaksanaannya kepada KPM dengan jabatan itu memainkan peranan sebagai pakar rujuk, menyediakan nasihat kurikulum dan sokongan bahan pembelajaran.

“Hanya perlu satu sahaja yang berkaitan pelaksanaan pendidikan Islam di negara ini, kenapa perlu dua? Sepatutnya KPM dan Jakim duduk bersama dan selaraskan,” katanya.

Anuar berkata sama ada pendidikan Islam yang disatukan itu diajar pada waktu persekolahan atau selepas sesi persekolahan, itu diserahkan kepada hasil libat urus antara ibu bapa dan guru.

“Yang menjadi isu sekarang ialah kita ada dua bentuk pelaksanaan pendidikan Islam,” katanya. “Kalau kita mahu keselarasan, sepatutnya kedua-dua digabungkan.”

Kafa ialah kelas pengajian al-Quran dan Fardu Ain yang bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6 yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Ia menggunapakai kurikulum, buku teks, peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa, dan mengikut jadual atau waktu pengajaran dan pembelajaran yang ditetapkan oleh Jakim.

Elaun guru Kafa juga dibayar oleh kerajaan melalui Jakim.

Post a Comment

0 Comments