Hot Posts

6/recent/ticker-posts

NUTP akui silibus KBAT tidak sepadan usia, tahap penguasaan


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengakui kandungan mata pelajaran berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lalu, tidak lagi sesuai dengan tahap pemikiran murid.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada guru yang mengakui beberapa silibus, khususnya subjek Matematik bagi sekolah rendah tidak sepadan dengan usia dan tahap penguasaan murid.

Atas dasar itu, katanya, beliau menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan tinjauan pelaksanaan kurikulum persekolahan 2027.

Sukar fahamkan murid

Katanya, penting untuk beberapa silibus KBAT dikaji semula dan diberi perubahan supaya sesuai dengan tahap murid.

"Inisiatif ini bagus kerana kementerian memperoleh input yang betul kerana kita pun tidak faham, kerana pengisian KBAT seolah-olah subjek yang diajar bagi Tingkatan Dua, walaupun murid berada di Tahun Lima.

"Jika ada usaha KPM untuk mengubah silibus pada masa depan, maksudnya kementerian peka dengan kemahuan ibu bapa, masyarakat dan guru.

"Kita banyak menerima aduan daripada guru yang sukar memberi kefahaman kepada murid kerana silibus itu tidak relevan dengan tahap pemikiran murid," katanya kepada BH, di sini.

KPM sedang menjalankan tinjauan pelaksanaan kurikulum persekolahan 2027 bagi orang ramai khususnya ibu bapa menyampaikan pandangan dan saranan mereka.

Post a Comment

0 Comments