KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang dalam proses menambah baik kurikulum Sains dan Matematik bagi menangani masalah penurunan minat pelajar terhadap mata pelajaran itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, langkah itu berikutan kementerian sedar ada pihak yang mengaitkan penurunan minat tersebut dengan kurikulum kedua-dua subjek yang tinggi.
"Memang ada pihak kaitkan kurikulum Sains dan Matematik yang tinggi, semua itu dalam proses. Kita sudah kaji dan akan tambah baik.
"Tetapi yang penting, kita ada modul untuk bantu guru bagaimana mengajar satu-satu subjek, insya-Allah perkara tambah baik ini akan berterusan," katanya ketika ditemui, semalam.
Pkharuddin ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan- Dunia (WTC) di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Perdana Menteri yang mahu Kementerian Pendidikan menggunakan pendekatan baharu bagi mengatasi penurunan minat anak-anak dalam bidang sains dan matematik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting selepas kajian Kementerian Pendidikan mendapati minat. anak-anak sekolah dalam bidang tersebut mulai menurun.
Mengulas lanjut, Pkharuddin bagaimanapun berkata, apa yang penting adalah kementerian sedang memupuk minat bidang sains dan matematik bermula dari sekolah rendah lagi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan.
Beliau berkata, ia selepas mengambil kira ramai pelajar berminat untuk masuk pertandingan kokurikulum dalam bidang sains dan matematik.
"Kalau semasa saya menjadi Pengarah Pendidikan di Negeri Sembilan, kita galakkan sekolah rendah untuk adakan bilik sains, mohon kerjasama pembantu makmal sekolah menengah pergi ke sekolah rendah untuk ubah suai bilik di sekolah rendah jadi bilik sains yang kondusif.
"Jadi konsep itu juga yang kita sedang rancang untuk laksanakan di peringkat Kementerian Pendidikan.
"(Jadi), minat itu (dipupuk) daripada sekolah rendah lagi, dengan adanya bilik sains, malah aktiviti dalam bidang sains itu pun kita akan perkasakan lagi, termasuk matematik sekali," katanya.
Tambah Pkharuddin, kementerian juga mempunyai jawatankuasa kerja dan induk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang memberi fokus kepada aktiviti kurikulum, kaedah pengajaran dan pelbagai lagi yang berkait dengan bidang berkenaan.
Katanya, jawatankuasa itu menggabungkan semua bahagian di kementerian dan agensi di luar termasuk Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
0 Comments