Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sistem prasekolah negara perlu selaras, diseragamkan - Pensyarah


Kuala Lumpur: Sistem prasekolah di Malaysia perlu diselaras dan diseragamkan susulan daripada laporan Bank Dunia mengenai kajian semula sistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia yang masih kurang memuaskan.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr Anuar Ahmad, berkata kepelbagaian pentadbiran, pengurusan dan ko-kurikulum dari pihak swasta dan kerajaan juga menyumbang kepada kualiti prasekolah Malaysia yang disifatkan masih kurang memberangsangkan.

"Berdasarkan laporan yang dibuat oleh Bank Dunia itu, pihak mereka melihat Malaysia mempunyai sistem prasekolah yang agak pelbagai dan diuruskan oleh pelbagai pihak.

"Sebagai contoh di bawah kelolaan kerajaan terdapat prasekolah kendalian pelbagai kementerian pula seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Malaysia (KKDW) (Tabika Kemas) dan Kementerian Perpaduan (Tabika Perpaduan)," katanya kepada BH.

Katanya, perkara itu menunjukkan prasekolah memerlukan penyelarasan, bukan sahaja di peringkat pentadbiran dan pengurusan, malah kokurikulum juga dilihat berbeza di setiap sekolah.

"Sudah sampai masanya dapatan daripada Bank Dunia itu digunakan oleh kerajaan untuk kembali membangunkan sektor pendidikan prasekolah supaya ia lebih berkualiti, tersusun dan memastikan guru-guru mempunyai kelayakan sewajarnya untuk menjadi guru.

"Disarankan juga agar satu badan pemantau diwujudkan untuk memastikan kualiti prasekolah dalam negara diperbaiki," katanya.

Beberapa isu perlu perhatian Terdahulu, laporan Bank Dunia dalam kajian semula sistem pendidikan awal kanak-kanak Malaysia dikeluarkan 30 Mei lalu memaklumkan bahawa selepas 66 tahun merdeka, kualiti prasekolah Malaysia masih pada peringkat kurang memuaskan.

Hasil kajian itu juga menyenaraikan beberapa isu yang perlu diberi perhatian, antaranya kekurangan prasekolah di kawasan tertentu serta kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai manfaat menghantar anak ke prasekolah.

Laporan berkenaan turut menyatakan isu yang perlu diberi perhatian adalah bebanan kos prasekolah, kualiti guru yang rendah dan pertindihan peranan antara kementerian dan agensi yang mengawasi Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di Malaysia.

Kajian berkenaan dijalankan dengan kerjasama KPM dan menjadi penilaian menyeluruh terhadap landskap pendidikan prasekolah semasa Malaysia bertujuan untuk mengenal pasti jurang antara sasaran dan aspirasi yang ditetapkan KPM dan kera jaan di bawah pelbagai dasar dan hasilnya setakat ini.


Post a Comment

0 Comments