![]() |
Imej hiasan |
PADANG BESAR: Peluang perniagaan yang semakin terbuka khususnya secara dalam talian mendorong sesetengah remaja tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya terus mencari pendapatan sendiri.
Potensi besar dalam bidang itu yang memberikan pulangan lumayan menyebabkan kebanyakan mereka lebih memilih untuk mengumpul aset pada usia muda berbanding menyambung pelajaran.
Ia diakui oleh seorang bekas pelajar yang berasal dari Padang Besar dikenali sebagai Afiq, 18, apabila dia memilih untuk tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lalu bagi memberikan fokus terhadap perniagaan barangan barangan Thailand secara dalam talian. Menurut Afiq, dia mampu menjana pendapatan RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan hasil perniagaan dalam talian barangan seperti kosmetik, makanan dan pelbagai lagi yang mendapat permintaan dari seluruh negara.
"Sejak kecil, saya telah bantu saudara untuk berniaga di Padang Besar dan apabila dapat mencari duit sendiri, ia memberi perangsang buat saya untuk memberikan fokus terhadap bidang perniagaan dalam talian.
"Saya juga tidak berapa mahir dalam akademik dan lebih berminat untuk bekerja bagi mengumpulkan aset sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan harus mengenal pasti kira-kira 30,000 pelajar yang tercicir SPM supaya mereka boleh diserap ke mana-mana program latihan sedia ada.
Ketika ini dianggarkan 30,000 pelajar tidak menghadiri peperiksaan SPM dan perlu hidup tanpa sijil minimum yang diperlukan untuk memohon pelbagai jawatan termasuk dalam kerajaan.
0 Comments