Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Baiki tandas segera sebelum minta murid hargainya - NUTP

Imej hiasan

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyegerakan pemberian peruntukan kewangan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, (NUTP), Aminuddin Awang berkata, usaha membolehkan pelajar menggunakan tandas dengan betul telah, sedang dan akan terus diterapkan oleh pihak sekolah.

Namun keutamaan Kementerian Pendidikan, (KPM) adalah memastikan fasiliti pelajar dalam keadaan sempurna.

“Apa yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan sekarang adalah perlunya memberikan peruntukan kepada sekolah-sekolah untuk menaiktaraf tandas sekolah yang majoritinya memerlukan penyelenggaraan segera.

“Ada sekolah yang tiada peruntukan untuk menukar kepala paip, menukar pintu tandas, isu ketiadaan air dan lain lain.


“Punca sebenar keadaan tandas kelihatan tidak terurus adalah disebabkan tiada peruntukan penyelenggaraan.

“Sebagai contoh, bagaimana pelajar nak ‘flush’ apabila selesai menggunakan tandas jika alat untuk flush tu tak boleh digunakan? ” katanya.

Tambah Aminuddin lagi, isu kebersihan tandas bukan isu berkaitan disiplin pelajar kerana guru-guru sentiasa mempunyai pelbagai mekanisma dalam membentuk setiap anak didik mereka.

Beliau mengulas cadangan Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, (PIBGN), Mohamad Ali Hassan agar meminta pelajar yang memiliki masalah disiplin menjalankan kerja-kerja sosial seperti membersihkan tandas sekolah.

Ia sebagai sokongan terhadap saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta murid dilatih membersihkan tandas selepas menggunakannya bertujuan mendidik mereka menjaga kemudahan sekolah dengan baik.

Post a Comment

0 Comments