Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jadi pentadbir bukan sekadar rajin bertukang, tanam pokok bunga - Pensyarah


Seorang guru muda bercerita pada saya, beliau berbangga dengan guru besar sekolahnya yang hebat.

Kata guru muda ini, guru besarnya rajin mengecat bangunan sekolah setiap kali sekolah akan dibuka selepas cuti panjang, rajin bersihkan stor, suka tanam pokok dan membaja pokok-pokok bunga di sekolah.

Tambahnya lagi, guru besarnya juga rajin bertukang membaikpulih kerusi dan meja yang rosak.

Pendek kata, guru ini gembira dapat guru besar begitu.

Saya juga gembira bila guru itu gembira. Tetapi saya lebih gembira jika guru besarnya faham peranan dan tujuan mengapa beliau dilantik memimpin sekolah.

Seorang guru besar dibayar gajinya dengan wang rakyat untuk berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan kemenjadian murid.

Bukan pokok bunga sekolah tidak penting, bukan juga membersihkan stor atau mengecat sekolah tidak perlu.

Tetapi para guru besar mempunyai tanggungjawab dan peranan yang jauh lebih penting. Masa mereka di sekolah harus memfokus kepada apa yang lebih utama.

Ini bukan soal betul atau salah. Ini soal mana yang lebih utama.

Setiap guru besar mesti ada sasaran dan agenda untuk kemenjadian murid-muridnya.

Misalnya, lebih penting untuk setiap guru besar usahakan,

(1) 100% murid-murid sekolahnya boleh bertutur dengan fasih sekurang kurangnya dua bahasa sebelum tamat sekolah rendah. Khususnya menguasai bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jika gagal, landskap sekolah yang cantik tidak bemakna sama sekali.

(2) 100% murid-murid sekolahnya mempunyai tahap penguasaan membaca, menulis dan mengira dengan baik. Tak guna bangunan sekolah bercat baru tetapi masih ada murid-muridnya yang tidak boleh membaca, menulis atau mengira dengan baik.

(3) Berusaha supaya semua murid-muridnya mempunyai tahap berat badan atau BMI yang baik. Tak guna jika kantin cantik tetapi ramai murid-muridnya obesiti atau kurang zat.

(4) Berusaha supaya semua guru-guru mempunyai motivasi dan semangat yang tinggi sebagai pendidik. Guru-guru yang sentiasa positif untuk meningkatkan kualiti pengajaran dengan berbagai inovasi baru pembelajaran.

(5) Berusaha supaya sekolah mempunyai guru-guru dan murid-murid yang bersopan, berbudi bahasa dan mesra antara satu sama lain. Tak guna juga ada pokok bunga yang cantik tetapi budi bahasa warga sekolah tidak cantik.

Saya gembira dengan guru besar yang rajin dengan pokok bunga sekolah atau mencantikkan sekolah tetapi biarlah rasa bangga itu datangnya dari usaha yang menjadi keutamaan mengapa seseorang guru besar itu dilantik untuk memimpin kemenjadian murid di peringkat sekolah.

Diakhir perbualan, saya bertanya pada guru muda ini, 'Berapa kali dalam sebulan, guru besar jemput cikgu ke pejabatnya untuk berbincang kemajuan dan keadaan murid-murid kelas cikgu?

Cikgu muda itu terdiam, mungkin cuba mengingati... Kemudian menjawab antara dengar dan tidak.. 'Tak pernah lagi...'Sambil menggelengkan kepala.

Sumber: Dr. Anuar Ahmad

Post a Comment

0 Comments