![]() |
Sunber foto: Utusan Online |
Dia rupa-rupanya sedang ‘menghitung hari’ menanti ‘pengumuman besar.’ Walaupun cuba menyembunyikan riak keresahan tersebut, bahasa badan menceritakan sebaliknya. Dia sedikit tidak keruan memikirkan apa keputusan yang bakal diperoleh anaknya. Sementelah anaknya pula belajar di sebuah sekolah berasrama penuh berprestij di negara ini. Bagaimanapun lain pula dengan tuan punya badan. Anak lelaki rakan penulis itu relaks-relaks sahaja, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Sikap anaknya yang sedemikian menambahkan rasa cemas rakan penulis ini. “Ibu bapa yang tidak lena tidur malam, anak pula macam tak kisah,” dia merungut ketika kami berjumpa beberapa hari sebelum keputusan SPM keluar.
Penulis percaya beribu-ribu lagi ibu bapa yang menerima keputusan SPM kelmarin barang kali berkongsi perasaan dan situasi yang sama sejak dua minggu lalu. Debaran dan kebimbangan bergejolak menjelang hari pengumuman. Ketika semua calon berdebar-debar menanti keputusan diumumkan, jantung ibu bapa pula bagai hendak luruh memikirkan berapa banyak ‘A' yang mampu dikumpul oleh anak-anak mereka. Huruf B, C pula tidak terlintas pun di fikiran mereka.
Ini bukan cerita rekaan. Lihatlah reaksi mereka ketika menerima keputusan yang diumumkan kelmarin. Sebahagian amat bergembira apabila anak-anak mencatat keputusan cemerlang 8,9,10,11 dan 12A. Ada juga ibu bapa yang sangat gembira dan bersyukur walaupun anak-anak sekadar memperoleh 4 atau 5A. Segelintir ibu bapa pula ada yang tidak begitu gembira walaupun anak mereka memperoleh keputusan cemerlang. Puncanya kerana ada satu atau dua subjek diberi keputusan ‘B.’
Penulis tidak bertanyakan rakan tadi apa bentuk keputusan yang dicapai anaknya kerana yakin dia pasti memperoleh keputusan yang tidak mengecewakan kedua ibu bapanya. Rakan penulis juga tidak muncul dalam grup WhatsApp. Barangkali dia sedang bergembira meraikan detik-detik kejayaan anak bongsunya itu.
Sesiapa sahaja mahu melihat kejayaan anak-anak dalam peperiksaan SPM. Bagaimanapun takrifan kejayaan itu berbeza-beza bagi setiap individu. Segelintir ibu bapa memandang hanya semua ‘A’ sahaja sebagai kejayaan. Keputusan selain ‘A’ bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Tidak keterlaluan dikatakan ada dalam kalangan mereka tergamak menganggap keputusan selain ‘A’ tidak ubah seperti satu bentuk kegagalan.
Lantas bukanlah sesuatu yang pelik jika ada kes-kes ibu bapa yang terlebih sedih sewaktu menerima keputusan peperiksaan anak mereka. Sampai ke satu tahap, sesetengahnya tidak ubah seperti ditimpa kemurungan hanya kerana apa yang diperoleh tidak menepati jangkaan. Dunia dirasakan gelap gelita dan kosong hanya kerana huruf ‘A’ tidak memenuhi slip keputusan. Kalaulah ibu bapa sudah berkeadaan sedemikian, cuba bayangkan bagaimana pula tekanan yang dirasai anak-anak.
Ada juga kalangan ibu bapa yang sangat tenang sewaktu menerima keputusan. Dia kelihatan biasa-biasa sahaja dan tidak berminat langsung untuk bercerita walaupun keputusan yang diperoleh cemerlang. Dia juga masih boleh tidur lena dan meneruskan hidup seperti biasa walaupun keputusan yang dicatatkan anak mereka tidak banyak ‘A.’ Terdapat juga yang terkejut besar kerana anak yang kelihatan lemah dalam pelajaran mencatatkan keputusan baik dan cukup modal untuk memohon masuk ke universiti awam. Mereka berlapang dada, mampu mengawal emosi dan tidak terlebih-lebih.
Apa yang diceritakan dan berlaku kelmarin adalah kes-kes berulang yang berlaku setiap tahun. Selagi ada peperiksaan besar selagi itulah perkara ini berlaku dan terus berlaku. Harapan menggunung untuk melihat anak masing-masing mencatat keputusan hebat lebih-lebih lagi bagi yang belajar di sekolah-sekolah terkenal memberi tekanan bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga ibu bapa. Jadi bukan sesuatu yang pelik apabila melihat ibu bapa yang ‘lebih banyak menderita jiwa’ berbanding anak-anak apabila harapan tidak kesampaian.
Walaupun sudah terbukti keputusan ‘banyak A’ atau ‘semua A’ bukanlah segala-galanya dalam menentukan kejayaan hidup seseorang, masih ramai ibu bapa yang hidup dalam penafian. Sesetengahnya tahu dan faham tetapi buat-buat lupa. Memang benar keputusan yang cemerlang membuka peluang yang lebih besar untuk mengikuti kursus pengajian yang bagus-bagus di institusi pengajian tinggi terbaik sama ada di dalam atau luar negara.
Tetapi itu hanya permulaan kepada satu perjalanan yang cukup jauh. Masih banyak jalan, lorong, lurah dan liku yang perlu didepani mereka sebelum mengecap kejayaan. Kejayaan pula datang dalam pelbagai bentuk, rupa dan tidak sekadar dinilai dengan kejayaan akademik sahaja.
Kepada calon-calon yang mencatat kejayaan dalam SPM 2016, tahniah. Kepada yang tidak cemerlang teruskan usaha tanpa jemu dan berputus asa. Kepada yang tidak berupaya mengumpul seberapa banyak A dalam peperiksaan kali ini, tidak perlulah berasa berdosa. Anda tidak melakukan apa-apa kesalahan pun! Keputusan banyak atau sedikit ‘A' bukan segala-galanya dalam hidup yang masih panjang ini. Anda mungkin menyimpan potensi lebih besar dalam diri. Pupuk , bajai, bangun dan kembangkan. Ibu bapa yang ketagihan ‘A’ pula renung-renungkanlah!
Sumber: Utusan Online
0 Comments