Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Buli di MCKK: KPM selesai siasatan, serah kepada pihak berkuasa - Fadhlina

Fadhlina bercakap kepada pemberita di Nibong Tebal, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes dakwaan buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak, pada September tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata hasil siasatan itu juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Ia telah diserahkan kepada pihak autoriti untuk meneruskan apa saja tindakan kerana kita sudah selesai (melakukan siasatan) pada peringkat KPM.

"Maknanya, kita tunggulah apa tindakan daripada pihak berkaitan," katanya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

Pada Disember tahun lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata pihaknya masih menunggu arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status suspek kes dakwaan buli pelajar di MCKK, sama ada diteruskan dengan proses pendakwaan atau tidak.

Mohd Yusri dipetik berkata, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk semula kepada AGC selepas laporan penuh perubatan mangsa diperoleh daripada Hospital Kuala Kangsar, selain polis tiada menerima makluman daripada mana-mana pihak sama ada sekolah atau ibu bapa pelajar terbabit untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar bidang perundangan.

Media sebelum ini melaporkan seorang ibu mahukan keadilan untuk anaknya berusia 16 tahun ketika itu yang didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak pada 24 September tahun lalu.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK kemudian dilaporkan kesal dengan tindakan menularkan dakwaan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah itu dalam media sosial, kerana memberi impak besar serta membawa imej buruk terhadap institusi sekolah berkenaan secara keseluruhan.

Post a Comment

0 Comments