Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Buli MCKK: Polis panggil 3 penyebar fitnah

Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor

PETALING JAYA: Tiga pemilik akaun media sosial yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam media sosial berkaitan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) akan dipanggil polis bagi membantu siasatan.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan itu selepas pihaknya menerima satu laporan yang dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK, semalam.

Kata beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

"Mereka akan dipanggil bantu siasatan," katanya secara ringkas.

Semalam, tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan kenyataan berbaur fitnah dalam media sosial akan diambil oleh PIBG sekolah berkenaan.

Wakil PIBG MCKK yang tidak ingin dikenali berkata, laporan polis dibuat untuk mengeluarkan saman terhadap tiga pemilik akaun yang menyebarkan maklumat tidak benar melalui media sosial sehingga menyebabkan pelajar, ibu bapa dan guru MCKK terima ugutan.

Laporan polis yang dibuat itu berikutan isu buli yang tular dalam media sosial sejak beberapa minggu lalu membabitkan pelajar tingkatan lima dan empat sekolah berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan.

Turut hadir adalah Yang Dipertua PIBG MCKK yang enggan mengulas lanjut isu buli tular berkenaan dan menyatakan sebarang kes yang masih di dalam siasatan polis, tidak akan diulas.

Sementara itu, peguam, Hasshahari Johari Mawi berkata, tindakan undang-undang kepada individu berkaitan akan diteruskan susulan penyebaran maklumat yang berunsur fitnah sedangkan kes tersebut diselesaikan di peringkat sekolah.

Post a Comment

0 Comments